852 kes positif covid-19 diumumkan dan 4 kes pemergian pada hari ini

Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan sebanyak 852 kes jangkitan baharu virus COVID-19 di negara ini pada hari ini. Daripada angka tersebut sebanyak 839 merupakan kes tempatan, manakala 13 pesakit lagi merupakan kes import. Bagaimanapun, sebanyak empat kes pemergian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 286 kes pemergian.

Sementara itu, sebanyak 825 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini sebanyak 28,234 kes. Begitupun, sebanyak 11,689 kes lagi yang masih aktif dengan 94 pesakit daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 32 individu lagi terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kini, negara sudah mencatatkan sebanyak 40,209 kes setakat 8 November 2020. Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh penguatkuasaan bermula 9 November sehingga 6 Disember iaitu selama empat minggu. Hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin menerusi sidang media khas pagi tadi (Ahad) mengumumkan semua sekolah termasuk kolej vokasional seluruh negara ditutup bermula esok, sehingga hari akhir persekolahan pada tahun ini.