Ada kalanya tumbuhan yang mempunyai banyak faedah untuk manusia itu tidak semestinya baik untuk si kucing juga. Kalau sayang kucing anda sila jauhkan daripada 10 pokok yang boleh mendatangkan bahaya pada si kucing anda.

Terdapat 10 jenis pokok yang boleh mendatangkan bahaya bagi si kucing. Beberapa jenis pokok yang ditanam di rumah mungkin nampak menarik kepada kita tetapi tanpa disedari ia membahayakan haiwan peliharaan anda seperti kucing. Ini kerana kucing alergik terhadap beberapa jenis tanaman dan sebagai pemilik kucing anda seharusnya menjauhkan si bulus daripadanya agar tumbuhan itu tidak menjadi punca kehilangannya. Terdapat 10 jenis pokok yang beracun buat kucing;

1. Bunga lili

Hanya satu gigitan daun atau terkena debunganya, ia sudah cukup membuatkan kucing anda lesu dan muntah dalam tempoh sejam. Sekiranya ia tidak dirawat segera, kucing berisiko mengalami masalah buah pinggang yang serius.

2. Dracaena

Terdapat 40 jenis pokok dracaena dan sekiranya kucing termakan daunnya, ia akan mengalami kemurungan, hilang nafsu makan serta muntah darah.

3. Autumn crocus

Sekiranya kucing termakan apa sahaja bahagian daripada tanaman ini sudah cukup membuatkan ia berasa panas seperti terbakar pada bahagian mulut, muntah, cirit-birit, mengalami kekejangan otot, kerosakan hati dan kegagalan buah pinggang.

4. Bunga Daffodil

Seperti autumn crocus, ia juga akan membuatkan kucing mengalami gejala sama selain penurunan tekanan darah yang drastik. Kegagalan membawanya berjumpa doktor haiwan dengan segera boleh menyebabkan nyawanya terancam.

5. Tulip

Tanda-tanda si bulus kesayangan anda telah termakan bunga tulip apabila ia mengalami pengeluaran air liur berlebihan dan kerap berasa mual dan muntah-muntah.

6. Palma Sago

Tanaman ini sangat beracun buat kucing terutama bijinya. Si bulus yang termakan tanaman ini akan mengalami muntah, najis berdarah, kegagalan hati serta kehilangannya.

7. Bunga Kertas

Ia boleh menyebabkan kesakitan mulut pada kucing, muntah dan cirit-birit. Dalam situasi tertentu, kucing boleh mengalami penurunan tekanan darah, dan kehilangannya.

8. Kalanchoe

Tanaman ini terdapat bunga kecil yang menarik perhatian kucing namun apabila dimakan ia akan membuatkan kucing mengalami muntah, cirit-birit dan gangguan degup jantung.

9. Marijuana

Kucing yang termakan marijuana akan mempengaruhi sistem sarafnya. Ia juga boleh menyebabkan muntah, cirit-birit, kekejangan dan berbagai lagi.

10. Lidah buaya

Meskipun ia bermanfaat bagi manusia, lidah buaya biasanya boleh membuatkan kucing kemurungan, ciri-birit, mengalami kekejangan, perubahan warna air kencing serta anoreksia.