Air yang dirawat adalah untuk memenuhi permintaan industri. Ini rupanya manfaat kitar semula air sisa kumbahan dan industri.

Air yang dirawat digunakan untuk memenuhi permintaan industri. Rakyat Malaysia boleh dikira bernasib baik kerana kita jarang mengalami kekangan air yang teruk seperti yang berlaku di beberapa negara lain. Malaysia diberkati dengan curahan air hujan yang tinggi (kira-kira 2,500 milimeter (mm) setiap tahun) dan kebanyakan rakyat mempunyai akses air bersih melalui sistem bekalan air yang baik.

Namun, dalam tempoh 10 tahun ini, gangguan bekalan air sering berlaku terutama sekali di kawasan berpenduduk padat, seperti Kuala Lumpur dan Selangor. Prof Madya Dr Lau Woei Jye dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, musim kemarau yang berpanjangan dan pencemaran air di Loji Rawatan Air adalah antara penyebab utama masalah ini. Dalam masa sama, beliau memberitahu, terdapat faktor lain seperti peningkatan kepadatan penduduk dan perindustrian pesat yang menyumbang kepada isu kekangan air hari ini.

“Malaysia berjaya mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Namun dalam sektor bekalan air, kita masih amat bergantung kepada tadahan air. Ini menjadikan bekalan air kita amat bergantung kepada keadaan dan perubahan cuaca. Untuk memastikan kebolehpercayaan dan bekalan air yang mampan, ia amat penting bagi Malaysia untuk mempelbagaikan portfolio bekalan air negara dengan menggabungkan sumber air selamat dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air yang bergantung kepada air hujan semata-mata,” kata beliau.

Memetik artikel pakar air terkemuka, Profesor Elimelech dari Yale University di Amerika Syarikat) menerusi jurnal sains, beliau berkata, satu-satunya kaedah mampan untuk meningkatkan bekalan air melebihi apa yang sedia ada daripada kitaran hidrologi adalah penyahgaraman dan penggunaan semula air. Menurut Woei Jye, walaupun pelbagai usaha dijalankan oleh beberapa negara untuk meredakan kekangan bekalan air melalui peningkatan sistem tadahan air dan pengedaran air, memperbaiki infrastruktur dan pemuliharaan air, namun langkah-langkah itu hanya cukup untuk memperbaiki kaedah penggunaan sumber air sedia ada.

Berbanding proses penyahgaraman air laut atau air payau yang memerlukan pelaburan modal dan kos operasi lebih tinggi, beliau menjelaskan bahawa proses kitar semula air sisa lebih kompetitif dari segi kos dan sesuai untuk dipertimbangkan di negara ini. Dalam artikel tersebut, katanya, tumpuan akan diberikan kepada potensi kitar semula air sisa sebagai alternatif kepada bekalan air sedia ada.

“Pada masa ini, efluen yang disalurkan ke alam sekitar harus memenuhi piawaian ditetapkan dalam Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustri) 2009. Untuk kedua-dua peraturan tersebut, hanya efluen yang dirawat dengan permintaan oksigen biokimia (BOD5) kurang daripada 20 mg/L (miligram per liter) dibenarkan untuk dilepaskan mengikut piawaian Standard A,” kata beliau sambil menambah bahawa BOD5 adalah salah satu parameter utama dalam piawaian, dan ia merupakan pengukuran jumlah oksigen terlarut yang diperlukan oleh mikroorganisma untuk menguraikan bahan organik di dalam air.

Woei Jye berkata, oleh kerana sebahagian besar bahan pencemar wajib diasingkan, ia menjadikan efluen terawat secara umumnya berkualiti dan tidak mendatangkan risiko kepada alam sekitar dan kesihatan awam. Menurut beliau, segelintir masyarakat masih skeptikal tentang tahap keselamatan penggunaan efluen terawat itu, sambil menambah bahawa persepsi negatif terhadap penggunaan semula air sisa terawat harus bertukar.

“Mengitar semula air kumbahan untuk dijadikan air minuman telah lama diamalkan di beberapa negara lain. Singapura telah memulakan projek pulih guna air sisa kumbahan pada awal tahun 2000 dan kini mempunyai lima Loji Pulih Guna air sisa kumbahan yang menggunakan teknologi membran (gabungan proses ultrafiltrasi dan membran osmosis terbalik) untuk menghasilkan air yang digunakan pulih berkualiti tinggi (juga dikenali sebagai NEWater) cukup untuk memenuhi 40 peratus permintaan airnya sekarang. Di Amerika Syarikat, projek Pure Water bernilai AS$3 bilion (RM12.16 bilion) telah dijalankan baru-baru ini di San Diego, California dengan sasaran untuk mengitar semula 30 juta gelen air kumbahan setiap hari dalam empat tahun dan tambahan 53 juta gelen menjelang 2035. Kemudahan pulih guna air ini juga akan menggunakan teknologi membran sebagai sebahagian daripada proses purifikasi multi-barrier,” ujar Woei Jye yang juga Felo Penyelidik Kanan di Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) di UTM.

IWK mempunyai kemampuan untuk menghasilkan air sisa terawat yang berstandard tinggi.

Di Malaysia, Woei Jye berkata, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mempunyai kemampuan untuk menghasilkan air sisa terawat yang berstandard tinggi. Malah kata beliau, syarikat itu juga mempelopori usaha untuk menghasilkan sebuah loji pulih guna air berkapasiti kecil di Setia Alam, Selangor yang menghasilkan lima juta liter sehari (MLD) air yang dirawat daripada air sisa kumbahan menggunakan teknologi membran. Jelasnya, air yang dirawat itu digunakan untuk memenuhi permintaan industri.

“Kepercayaan yang semakin meningkat terhadap prestasi membran dalam kitar semula air sisa dapat dilihat melalui pertumbuhan yang amat ketara dalam pasaran global membran sepanjang dekad yang lalu,” katanya. Menurut Woei Jye, pada masa ini, terdapat 7,000 loji rawatan kumbahan yang dikendalikan oleh IWK yang menghasilkan kira-kira 5,000 MLD efluen terawat sehari. Loji rawatan kumbahan moden berpusat dapat menjadikan penggunaan kumbahan lebih mudah dilaksanakan. Ini kerana loji rawatan yang sedia ada menghasilkan efluen terawat yang memenuhi piawaian ketat sebelum disalurkan ke sumber air. Efluen terawat ini biasanya mengandungi kadar polutan yang rendah dan tidak akan mempengaruhi ekosistem,” katanya. Di samping itu, beliau berkata, air sisa yang terhasil daripada proses industri juga dapat dikitar semula untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan air sedia ada.

“Syarikat pemesinan logam AAOsteel di Denmark merupakan salah satu contoh kilang yang mempraktikkan kitar semula air sisa industri. Syarikat ini menggunakan semula 95 peratus air pulih guna ini daripada saluran bilas automatik alkali untuk proses pengilangannya. Selain mengurangkan kos pembuangan air proses, wang yang dilaburkan oleh syarikat untuk proses rawatan air sisa industri ini telah ‘terbayar’ dalam masa kurang dua tahun,” tambahnya.

Woei Jye berkata, selain itu, syarikat alat perubatan dan penjagaan kesihatan Amerika, Abbott mampu memenuhi lebih satu pertiga daripada jumlah keperluan air di kilangnya di Rio de Janeiro, Brazil dengan mengitar semula air sisa yang dihasilkan. Jelasnya, kemudahan mengitar semula air sisa membolehkan kilang tersebut meningkatkan pengeluaran sebanyak 11 peratus pada 2018 tanpa memerlukan air berlebihan.

Sehubungan itu, Woei Jye berkata, keupayaan dan pengalaman IWK dalam menguruskan Loji Pulih Guna Air (Water Reclamation Plant) dapat memainkan peranan penting dalam menyediakan sumber air alternatif untuk memenuhi permintaan industri tempatan.

“Industri-industri ini boleh memperoleh bioefluen yang dirawat daripada WRP untuk kegunaan industri, yang secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada air mentah yang digunakan untuk minuman. Dengan adanya pengurangan permintaan daripada industri, air mentah dapat digunakan dengan lebih baik, misalnya, untuk penggunaan harian manusia. Lebih-lebih lagi, penggunaan air adalah produk asas untuk hampir setiap langkah pembuatan dan pengeluaran di seluruh dunia, sama ada digunakan untuk penghasilan, pemprosesan, mencuci, mencairkan, menyejukkan atau menghantar produk,” katanya.

Beliau turut memberitahu, proses kitar semula air sisa menjadi semakin penting bukan hanya untuk mengurangkan pencemaran yang dibuang ke sumber air, tetapi juga bagi mengurangkan kesan akibat gangguan bekalan air yang tidak berjadual dan kenaikan tarif air. Pada masa ini, katanya, tarif air dan pembetungan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia.

“Namun, kita tidak boleh mengharapkan bahawa tarif tidak akan dinaikkan selama-lamanya. Syarikat yang mempunyai kemudahan kitar semula air sisa di premis mereka tidak akan terkesan jika tarif air di naikkan di masa hadapan. Manfaat penjimatan kos hasil daripada penggunaan semula air sisa lebih memberi impak yang besar kepada industri-industri kerana tarif air industri jauh lebih tinggi daripada tarif domestik. Kita semua mesti faham dan akur bahawa semua air di Bumi dikitar semula berulang-ulang kali, dan mengitar semula air sisa kumbahan dan air sisa industri menjadi air tulen tidak dapat dielakkan pada masa akan datang dan harus dianggap sebagai strategi proaktif dalam usaha meningkatkan kelestarian dan keselamatan air negara kita,” katanya.