Akhirnya Nonny Nadirah beri respon mengenai perancangannya selepas sudah mengikuti kursus perkahwinan dengan seseorang ini. Ini jawapan Nonny Nadirah kepada warganet.

PENYANYI dan pelakon, Nonny Nadirah memberi bayangan bakal melangsungkan perkahwinan dengan pelakon, Niezam Zaidi dalam waktu terdekat ini. Ia berikutan tindakan Nonny, 31, atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin berkongsi video dia bersama Niezam yang sudah mengikuti kursus perkahwinan minggu lalu. “Alhamdulillah, selesai sudah satu perkara. Proses kami ‘special’ sedikit. Kalau nak tanya mengenai majlis nikah, jangan tanya saya lagi. Kena tanya terus pada Niezam. Harapnya menjawab segala persoalan,” katanya.

Berkongsi mengenai kursus perkahwinan itu, Nonny berkata, dia dan Niezam hanya terbabit selama sehari saja. “Untuk makluman semua, kursus kahwin sepanjang Covid-19 ini hanya dibuat sehari berbanding sebelum ini selama dua hari. “Jadi, siapa sedang merancang nak ambil kursus boleh berbuat sedemikian. Terima kasih kepada Kak Ana yang membuat perkhidmatan ini. Dari dulu dan sampailah ke Niezam, saya memang menggunakan khidmatnya,” katanya.

Nonny yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima memohon doa orang ramai semoga segala yang dirancang berjalan lancar. “Semoga dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT, dijauhkan dari segala jenis penyakit dan juga gangguan dari jin dan syaitan. “Dikayakan dengan iman, taqwa dan harta, diberikan rezeki yang melimpah ruah, baik dari segi kesihatan, kebahagiaan dan juga kewangan dan makanan yang mencukupi buat diri dan ahli keluarga mereka Ya Allah. Permudahkanlah dan peliharalah kami semua Ya Allah. Doakan buat kami juga ya,” katanya. Didoakan agar pasangan ini dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan mereka dan bahagia sentiasa dunia dan akhirat.

Terdahulu, pada Julai lalu Niezam sudah berjumpa keluarga Nonny di Kota Kinabalu, Sabah. Niezam berkata, pertemuan secara rasmi kali pertama itu dibuat sebagai menghormati dan menunjukkan kesungguhannya dalam menjalin hubungan dengan Nonny. “Alhamdulillah, pertemuan dengan ibu dan keluarga Nonny berjalan lancar. Insya-Allah, doakan semoga dipermudahkan. “Dalam pertemuan itu, saya pun sudah berbincang dengan keluarga Nonny. Insya-Allah kalau tak ada aral melintang dan akan dipermudahkan semuanya. Perancangan saya memang nak terus nikah,” katanya.

Sumber: Hmetro