Akhirnya terbongkar juga bahawa Vaksin Covid 19 akan berada di Malaysia tidak lama lagi. Rupa rupanya kilang pembuatan vaksin itu berada di kawasan ini.

BAGAIKAN satu sinar harapan buat rakyat di negara ini. Begitulah yang dapat menggambarkan bagaimana kehadiran vaksin Covid-19 mampu mengembalikan kehidupan kita semua menjadi normal seperti sedia kala. Terbaharu, Pharmaniaga Bhd menjangkakan vaksin Covid-19 yang sedang menjalani ujian klinikal di negara-negara seperti India dan China akan berada di Malaysia pada suku pertama atau kedua 2021.

Ia diumumkan Pemangku Pengarah Urusannya, Mohamed Iqbal Abdul Rahman. “Kebanyakannya (pembuat vaksin) telah mengumumkan untuk mengeluarkan vaksin itu menjelang akhir 2020. Justeru, saya berpendapat mereka akan menyediakan untuk peringkat tempatan terlebih dahulu sebelum menawarkannya ke negara-negara lain. “Jadi, apabila Malaysia menerima vaksin itu, kilang kami bersedia untuk membotolkannya dengan segera, ” katanya pada taklimat prestasi kewangan dan pengumuman keputusan bagi suku kedua 2020 syarikat itu pada Isnin.

Mohamed Iqbal yang juga Ketua Pegawai Operasi syarikat berkata, vaksin itu akan memasuki pasaran selepas menerima kelulusan kerajaan dan memenuhi syarat undang-undang di bawah Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA). Beliau berkata syarikat itu menyuntik RM2 juta untuk menggunakan semula kilang suntikan volum kecil (SVI) yang sedia ada di Puchong untuk menjalankan proses pembangunan pembotolan untuk vaksin Covid-19. “Selepas selesai proses ini, kami akan kembali menjalankan kerja-kerja yang dilakukan sebelum ini, ” katanya.

Vaksin itu akan memasuki pasaran selepas menerima kelulusan kerajaan dan memenuhi syarat undang-undang di bawah Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA).

Pharmaniaga mempunyai tujuh kilang di enam lokasi di Malaysia dan sebuah kilang di Bandung, Indonesia. Bagaimanapun, hanya satu daripada kilang itu iaitu Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di Puchong yang mempunyai peralatan mencukupi untuk membangunkan vaksin Covid-19. Mohamed Iqbal berkata ia adalah kilang yang diluluskan dengan Amalan Perkilangan yang Baik (GMP) dan satu-satunya kilang SVI di Malaysia yang mempunyai GMP daripada Kesatuan Eropah. “Kapasiti kami adalah kira-kira 10 juta dos setiap bulan untuk bekas 10 dos, ” katanya.

Mengenai unjuran pada tahun ini, Mohamed Iqbal berkata ia menjangkakan perniagaan syarikat itu akan kembali normal pada suku keempat 2020 – seperti menerima tempahan daripada kerajaan seperti pra-Covid-19 dan sektor swasta akan terus berkembang. “Kami akan memastikan kesinambungan daripada konsesi kerajaan, memberi tumpuan kepada pembuatan khusus seperti melabur dalam terapeutik baharu dan memperluaskan langkah pendigitan kami, ” katanya. Secara keseluruhannya, beliau menjangkakan industri farmaseutikal akan mencatatkan pertumbuhan yang berterusan walaupun berdepan persekitaran lebih berdaya saing memandangkan kerajaan telah meningkatkan kira-kira enam peratus perbelanjaan dalam sektor penjagaan kesihatan dalam belanjawan sebelum ini.- BERNAMA

SUMBER: MSTAR