Alam Wakaka risau akan nasibnya sebagai guru tari itu akan terjejas dalam waktu pandemik ini. Alam Wakaka mohon bantuan warganet untuk melakukan satu perkara untuk membantu studionya.

Guru tari dan koreagrafer popular, Alam Wakaka akui risau dengan nasib rakan seangkatan sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan di negara ini. Alam menerusi posting terbaharu di akaun Instagramnya memberitahu ramai pereka tari dan guru tari berdepan dengan masalah kehilangan sumber pendapatan.

Menurut Alam, dia berharap beberapa studio tarian dapat dibuka dengan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Alam juga berharap pendapat yang disuarakan ini dapat sampai ke pengetahuan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan dipertimbangkan oleh beliau.

“Assalamualaikum semua, saya perlukan bantuan korang semua untuk tag Dato’ Sri @ismailsabri60 / @mkn_rasmi agar didengari. Jika tidak, @ads.ecx dan banyak lagi Dance Studio akan ditutup, dan ramai choreographers / guru tari akan hilang punca rezeki,” tulisnya. Menerusi coretannya juga, Alam memberitahu walaupun reda dengan keadaan tersebut namun dia berharap ada sedikit harapan buat mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. Tempoh penguatkuasaan adalah selama empat minggu, bermula 9 November sehingga 6 Disember ini.