Anak sering menangis selain kerap menunjukkan tangan kepada sesuatu sambil menutup matanya. Ketahui 8 tempat jadi tumpuan makhluk ini dalam rumah

Seorang jiran meminta tolong sebab anaknya sering menangis selain kerap menunjukkan tangan kepada sesuatu sambil menutup matanya. Alhamdulillah anaknya dah kurang menangis katanya, selepas dia berjumpa seorang ustaz di jalan Tunku Abdul Rahman (Kuala Lumpur) tapi ustaz itu memberi anaknya tangkal benang hitam untuk dipakai di pinggang dan sebuah gambar ditulis ayat al-Quran.

Sebelum melakukan rukyah kepada anak itu, saya minta jiran gunting tangkal benang hitam tu. Sebaik sahaja digunting maka bertempiaran lari si anaknya sehingga terjatuh ke lantai sambil menunjukkan sesuatu seolah-olah dia nampak benda pelik dan menutup matanya. Saya tanya jiran saya adakah dia tahu apa yang mengejar anaknya tu? Itulah jin yang mengganggu anaknya selama ini. Maka saya melakukan rukyah untuk mereka selain membersihkan rumah mereka dengan air yang telah dibaca ayat-ayat suci al-Quran dan membakar benang tersebut. 

Dalam pemerhatian melalui pengalaman saya menghalau makhluk berkenaan di rumah, ia gemar berada di beberapa tempat seperti berikut. Pertama, di depan pintu tandas dan di dapur. Kenapa dengan tandas, itukan tempat dia. Kenapa di dapur? Kerana sumber makanannya di situ ialah tulang-tulang dan bau busuk merupakan bau yang sangat disukainya. Sebab itu, sisa-sisa makanan harus diikat dalam plastik dan terus buang kecuali kalau memang tuan rumah nak bela makhluk berkenaan.

Kedua, depan televisyen. Apa hubungan makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar itu dengan Televisyen (TV)? Kerana mereka dan perkara yang dilarang bagaikan lagu dan irama yang tak dapat dipisahkan. Kalau ahli rumahnya selalu melihat perkara yang tidak baik melalui TV malah berpesta maka itulah tempat yang disukainya. Ada sebuah rumah saya dipanggil untuk halau gangguan makhluk berkenaan, apabila saya tanya pembantu rumahnya dia selalu melihat mahkluk halus yang berjubah putih terbang dalam rumah dari dapur ke ruang tamu yang ada TV.

Ketiga, suka tinggal di dalam bilik yang tidak selalu digunakan. Kes sebegini banyak saya temui. Di sebuah rumah dua tingkat, hanya tingkat bawah sahaja digunakan manakala tingkat atas tidak dibersihkan. Maka makhluk halus akan tinggal di situ. Ada satu kes di sebuah rumah, rumah tersebut tidak diduduki sehingga lima tahun. Apabila saya masuk, saya mendapati ada makhluk halus di dalam sebuah bilik di rumah tersebut. Oleh kerana itu, penyewa atau pembeli enggan menduduki rumah itu kerana berasa takut sedangkan perhiasan dalamannya cantik.

Keempat, tempat yang ada alat muzik. Ada beberapa buah rumah yang saya pergi apabila ada gitar dan piano maka akan berada di situ kerana hubungan muzik dengan makhluk berkenaan terpisah tiada. Kelima, di tempat yang ada gambar dan patung manusia atau binatang. Banyak hadis nabi SAW menegaskan bahawa malaikat rahmat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada gambar dan patung, walaupun gambar keluarga yang digantung.

Keenam, penghuni rumah menggunakan tangkal,azimat dan buluh perindu. Dalam satu peristiwa, saya pernah melakukan rukyah terhadap anak kecil yang kerap menangis. Apabila saya periksa, di dalam rumahnya memang ada makhluk halus berkenaan tetapi apabila dihalau, ia tak mahu keluar. Saya bertanya kepada ayah anak itu, ada apa-apa yang dipakainya? Akhirnya, dia menyerahkan kepada saya buluh perindu miliknya. Kemudian saya neutralkan buluh perindu itu dan saya bakar. Barulah makhluk berkenaan keluar dari rumah dan anaknya berhenti menangis.

Ketujuh, rumah yang disimpan barang-barang lama, Ada satu kes di mana seluruh ahli rumah tersebut sakit-sakit disebabkan gangguan makhluk halus di dalam rumah yang disimpan barang-barang dipuja seperti barang-barang lama tinggalan nenek moyang atau barang pusaka.

Kelapan, tinggal berdekatan rumah yang ditinggalkan kosong. Banyak rumah yang ditinggalkan kosong dan penghuninya bukan lagi manusia tetapi makhluk berkenaan sebagaimana sabda nabi SAW yang mana pada akhir zaman ini terdapat banyak rumah kosong yang dihuni oleh makhluk berkenaan.

Sumber: Ustaz Shams