Awal Ashaari dikatakan berkata buruk pada salah sebuah syarikat. Akhirnya Awal Ashaari bongkar perkara sebenar berkaitan syarikat terbabit.

” Setiap kali nak berjumpa dan bermesyuarat, dia akan batalkan pada saat akhir sehinggalah terus hilang tanpa khabar berita.”

Itu kata-kata pengacara dan pelakon popular, Awal Ashaari yang mencabar syarikat kontraktor pengubahsuaian rumah supaya datang bersemuka dengannya. Tindakan Awal itu susulan kontraktor terbabit mendakwa dia berkata buruk dan memburuk-burukkan nama syarikat itu di laman instagram storynya.

Menurut Awal yang juga pengacara Melodi, dia mempunyai segala bukti membabitkan sebut harga, maklumat pembayaran, kiriman e-mel dan perbualan WhatsApp dengan kontraktor syarikat itu berhubung kerja-kerja mereka yang tidak memuaskan hatinya.

” Saya menerusi peguam Azlan Razak & Associates sudah menghubungi pihak terbabit sejak September dan Oktober lalu untuk berbincang perkara ini. ” Sekarang saya pula yang dikatakan berkata buruk tentang syarikat mereka. Saya ada banyak lagi perkara lain nak dibuat daripada nak menjatuhkan perniagaan tak profesional dia. Saya ada segala bukti yang memang dia buat kerja tangkap muat. Dia sudah ambil duit tapi buat kerja ala kadar dan sekarang nak berlagak menjadi mangsa pula. Memang silap orang. Saya cabar dia untuk keluarkan lukisan pelan dan rekaan akhir yang dipersetujui kalau ada. ‘Construction’ pun tidak ada pelan, apa cerita? Apa yang dia tahu datang ke lokasi, ambil gambar dan video saya kemudian sibuk nak muat naik di Instagram dan beritahu pengikutnya saya melantik dia,” katanya.

Tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang

Menurut Awal, dia sudah membayar wang pendahuluan RM100,000 daripada harga yang dikenakan iaitu RM220,000. Dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih tidak ada kerjasama daripada pihak berkenaan.

” Saya nak tuntut semula wang saya. Apabila dia tidak buat kerja, saya terpaksa melantik kontraktor lain untuk buat semula. Saya pula yang kena tanggung kerugian berganda-ganda. Disebabkan itu saya nak tuntut semula wang saya. Saya tak teragak-agak untuk bawa kes ini ke mahkamah sekiranya mereka tidak memberikan kerjasama sewajarnya selepas cubaan untuk berbincang beberapa kali gagal. Saya juga akan menuntut ganti rugi yang setimpal dengan segala kerosakan yang mereka sudah buat menyebabkan saya perlu mengeluarkan wang lebih banyak untuk membaiki kerosakan itu. Kalau nak tahu, saya banyak saja mempromosikan syarikat tempatan, kontraktor atau pereka hiasan dalaman yang buat kerja dengan ikhlas, bertanggungjawab dan ada integriti. Tidak perlu nak putar belit cakap saya pula yang berkata buruk,” katanya.

Terdahulu, menerusi laporan sebuah portal, pihak terbabit melantik firma komunikasi dan perhubungan awam bagi menguruskan isu itu.