Baru sahaja tular isu penggunaan basikal di lebuh raya tempoh hari. Kini keluar kenyataan baru bagi pengguna basikal yang ingkar mematuhi arahan akan dikenakan sesuatu kepada mereka. Ini selanjutnya.

Individu yang gagal mematuhi larangan berbasikal di lebuh raya boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 jika disabitkan bersalah. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, mereka yang gagal mematuhi papan tanda larangan berbasikal sebenarnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Aktiviti tersebut (berbasikal) hanya dilarang di lebuh raya namun masih dibenarkan di jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan. “JSPT menasihatkan kepada penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. “Ia bagi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenyataan tersebut adalah respons terhadap isu larangan penggunaan basikal di lebuh raya di seluruh negara yang kini hangat diperkatakan. Baru-baru ini isu tersebut dibincangkan di media sosial di mana ramai warganet merungut dengan tindakan segelintir individu berbasikal dengan cara bahaya di lebuh raya. Tindakan mereka bukan sahaja menjadikan diri dalam kejadian tidak diingini malah ukeselamatan orang lain juga turut terjejas bagi yang menggunakan jalan tersebut. Aktiviti berbasikal mula mendapat perhatian meluas sejak kebelakangan ini apabila kesedaran menjaga kesihatan sudah mula meningkat dalam kalangan masyarakat.

Sumber: Awani

Aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang – PDRM

KUALA LUMPUR: Aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang, dan individu yang ingkar boleh dikenakan denda hingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu status dimuat naik ke laman Facebook (FB) rasmi pasukan itu, semalam, memaklumkan mereka yang mengingkari larangan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Aktiviti sukan berbasikal kini menjadi hobi yang semakin diminati ramai di Malaysia, namun anda dinasihatkan supaya mematuhi larangan berbasikal di lebuh raya. “Sekiranya anda ingkar, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu melarang atau menyekat daripada menggunakan kenderaan di atas mana-mana jalan tertentu,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pengguna jalan raya memuat naik status dalam FB yang mendakwa tindakan sekumpulan individu menunggang basikal di jejambat Rasah Kemayan di Seremban, Negeri Sembilan, boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain. Beberapa gambar menunjukkan kumpulan penunggang basikal terbabit menggunakan laluan di tengah jalan raya yang sibuk di lokasi berkenaan, turut tular melalui media sosial.- BHONLINE