Boleh ke luar negara dengan mudah Sweet Qismina persoal lawatan rasmi PM ke negara jiran.

Pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini telah menyebabkan kerajaan di hampir serata dunia menutup pintu sempadan selain melarang rakyat ke luar negara. Terbaru, pelakon Sweet Qismina melontarkan pendapat menerusi satu ciapan di laman sosial Twitter miliknya dengan mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan lawatan kerja ke negara jiran, Indonesia sejak semalam.

Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi menyatakan bahawa lawatan Muhyiddin adalah satu perkara yang tidak wajar terutamanya sewaktu tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang rakyat berbuat demikian. Menurut pelakon berusia 24 tahun itu, abangnya adalah antara individu yang paling terkesan dengan larangan ke luar negara selepas setahun tidak pulang ke Indonesia untuk bertemu isterinya.

“Abang saya lama tidak jumpa isteri dia di Indonesia sejak tahun lepas. Dia baru kahwin. Tetapi Perdana Menteri kita boleh pergi sana macam itu saja. Patut minta beliau bawa abang saya bersama. Mana adil begini,” katanya di Twitter, semalam

Pelakon drama Bidadari Salju itu menyifatkan tindakan Perdana Menteri berkenaan adalah tidak adil, kerana pemimpin itu boleh keluar negara sedangkan rakyat biasa, iaitu abangnya tidak dibenarkan berjumpa isteri walaupun sudah lama tidak berjumpa. Berikutan itu, ciapan berkenaan telah mendapat pelbagai reaksi berbeza-beza daripada warganet yang rata-rata menyelar kenyataan yang dikongsi pelakon tersebut.

Sumber: Tweeter Sweet Qismina