Cara lelaki ini hulur salam perkenalan pada gadis yang tak dikenali ini mendapat pujian warganet. Tidak sangka daripada pelanggan menjadi teman hidup selamanya.

Perkenalan yang dihulur oleh si jejaka menerusi media sosial berakhir di jinjang pelamin. Disangka pelanggan yang ingin membuat tempahan kek, rupa-rupanya si pengirim mesej merupakan kiriman jodoh daripada Tuhan. Begitulah detik perkenalan pasangan ini yang bermula di media sosial yang kemudiannya berakhir di jenjang pelamin.

Segala-galanya bermula dengan tindakan berani si jejaka yang menghantar mesej menerusi Direct Message (DM) kepada wanita idamannya di Twitter dan meluahkan hasratnya untuk berkenalan. “Assalamualaikum. Hi, saya minta maaf sangat kalau cara berhubung macam ni nampak tak berapa proper especially from someone yang kita tak kenal. But staring at your profile won’t start a conversation. Dan saya ikhlas untuk berkenalan dan berkawan. So, hi!” demikian mesej yang dihantar si jejaka berkenaan.

Paparan tangkap layar mesej berkenaan yang dimuat naik bersama perkongsian di Twitter itu sehingga kini meraih sehingga 4,500 retweet. Berkongsi cerita dengan mStar, Farah izzati Yaacob berkata, dia sendiri tidak menyangka menerima salam perkenalan daripada seseorang yang tidak dikenali menerusi media sosial.

Posting Farah Izzati mengenai perkenalannya dengan suami meraih perhatian di Twitter.

“Masa dapat mesej tu awal Mei, ketika bulan Ramadan. Mula-mula ingat pelanggan nak buat tempahan, tapi selepas baca kali kedua, rasa terkejut juga. Tapi saya tak terus balas sebaliknya ambil masa juga selepas scroll akaun dia,” katanya yang merupakan ‘home-baker’ sepenuh masa. Menurut wanita ini, selepas beberapa minggu berkenalan di media sosial, dia dan suami, Muhammad Azlan Mansor bertemu buat kali pertama pada 3 Syawal di sebuah restoran di Petaling Jaya. Masa mula-mula tu janggal juga sebab masing-masing tak kenal, tapi bila dah mula berbual, ada keserasian dan rupa-rupanya kami sekepala. Sebulan berkenalan, dia beranikan untuk melamar selepas dia suarakan kepada ibu bapanya. Kemudian kami jumpa keluarga masing-masing dan Alhamdulillah, urusan dipermudahkan. Kami bertunang pada 8 Ogos,” kata wanita berusia 25 tahun ini.

Pasangan ini diijabkabulkan selepas kira-kira enam bulan mengenali hati budi.

Pasangan ini akhirnya selamat diijabkabulkan pada 30 November lalu dalam majlis yang sederhana dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) memandangkan Selangor masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Bercerita lebih lanjut, Farah Izzati berkata postingnya di laman Twitter itu adalah sekadar untuk berkongsi detik-detik perkenalan bersama suami dengan rakan-rakannya.

Bagi saya, tak salah pun kalau cara pendekatannya ikhlas untuk berkawan. Kalau tak ke fasa seterusnya pun, masih boleh berkawan dan mungkin dia potential customer saya.

“Tak sangka pula viral… Alhamdulillah ramai yang beri komen positif dan mendoakan rumah tangga kami. Tapi ada juga komen daripada warganet yang kata mereka pun selalu terima DM, tapi mereka tak mahu layan. Bagi saya, tak salah pun kalau cara pendekatannya ikhlas untuk berkawan. Kalau tak ke fasa seterusnya pun, masih boleh berkawan dan mungkin dia potential customer saya,” katanya yang menetap di Subang Jaya. Sementara itu, bagi Muhammad Azlan, tidak salah sekiranya seseorangn lelaki berterus terang untuk berkenalan asalkan dengan niat yang ikhlas.

Farah Izzati merupakan seorang ‘home-baker’ sepenuh masa yang menjalankan perniagaan secara online menerusi Instagram dan Twitter, Cakeendorphin.

“Niat asalnya untuk berkawan, kalau semua berjalan lancar… mudah-mudahan ke fasa seterusnya. Kalau tak jadi, boleh saja teruskan sebagai kawan. Sekurang-kurangnya saya mencuba dan Alhamdulillah, hubungan kami ke jenjang pelamin. Saya beranikan diri untuk mulakan langkah kerana rasa tertarik kepadanya walau hanya tengok gambar profil. Semakin lama kami serasi dan saya rasa sudah temui teman hidup. Kini kami masih lagi belajar mengenali diri masing-masing. Apa pun, apa yang paling penting adalah restu ibu bapa,” katanya lagi.