Dikatakan terlalu cerewet soal pasangan hidup punca sanggup ketepi soal kahwin. Dayang Nurfaizah cerita sikap sebenar dia yang ramai tak tahu

Bakal memasuki usia 40 tahun tidak lama lagi, Dayang Nurfaizah akui dia bersifat cerewet dalam soal memilih pasangan hidup. Akui terlalu sibuk dengan kerjaya membuatkan dirinya masih belum berpunya. Tidak berang dipersoal mengenai soal jodoh, Dayang berkata sebagai wanita mereka sepatutnya bersikap cerewet dalam soal memilih teman hidup kerana soal perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main dan tiada siapa inginkan perpisahan.

“Saya cerewet bukan sahaja soal kerja, malah mencari pasangan hidup pun sama. Setiap wanita harus fikir begitu dalam memilih teman hidup. Ini bukan perkara main-main kerana jika boleh, kahwin hanya sekali dan dijauhkan perpisahan. “Kita harus pilih pasangan yang betul dan serasi. Nak bina masjid dan hidup semati semestinya kena fikir sedalam-dalamnya, bukan main rembat sahaja,” katanya kepada BH Online. Dalam pada itu, Dayang berkata dia mencari lelaki bujang dan tidak dimiliki oleh sesiapa. Dayang turut meminta orang ramai mendoakan yang terbaik untuknya dalam soal jodoh. “Saya masih solo dan belum ada teman istimewa. Doakan saya. Apa yang pasti, saya mencari lelaki bujang, lebih tepat bukan kepunyaan sesiapa,” katanya.

Bukan lamaran cinta

Sekian lama menjadi teman seperjuangan, penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun baru ada keberanian melamar Dayang Nurfaizah. Tak salah jika benar penyanyi lagu Zikir Terapi itu mahu mendekati bintang R&B popular itu. Bagaimanapun, usah cepat membuat kesimpulan, ia bukannya lamaran cinta, sebaliknya atas urusan kerja. “Saya melamar Dayang untuk menyanyikan lagu komersil untuk pelanggan pada Jun lalu. Saya sekadar nak cuba nasib dengan harapan lamaran diterima.

“Tak sangka Dayang bersetuju untuk menyanyikan lagu komersil berkenaan,” katanya kepada BH Online. Pemilik syarikat Arteffects Sdn Bhd itu berkata, kerjasama antaranya dan Dayang berpanjangan daripada satu projek ke projek lain. “Selesai rakaman lagu komersil, saya mencadangkan kepada pelanggan menyunting Dayang sebagai duta produk untuk single yang dinyanyikan.

“Siapa sangka pelanggan setuju dengan idea saya. Lalu, saya diminta melamar Dayang sekali lagi. “Hampir dua minggu perbincangan dilakukan, akhirnya saya berjaya meyakinkan Dayang,” katanya. Bagi Hafiz, idea menjadikan Dayang sebagai duta produk dilihat sebagai sesuatu variasi untuk kerjaya seni penyanyi lagu Lelaki Teragung itu. “Mengenali Dayang sebagai rakan seni sebegitu lama, saya mahu memberikan nuansa berbeza untuk mengangkat imejnya sebagai ikon muzik dan fesyen,” katanya.

Meski kurang sihat, Dayang Nurfaizah tetap berikan yang terbaikAksi Dayang Nurfaizah, Hael Husaini ketika Konsert Minggu Ini Sabtu lalu

Biarpun kesihatannya terganggu akibat batuk dan sakit tekak, penyanyi Dayang Nurfaizah tetap melunaskan janjinya menghiburkan peminat di Konsert Minggu Ini Bersama Hael Husaini yang berlangsung di Auditorium Angkasapuri, RTM pada Sabtu lalu. Menurut Dayang, dia mengetepikan masalah kesihatannya buat sementara demi untuk tidak menghampakan peminat yang teruja menantikan persembahan tersebut. “Tiga hari sebelum konsert berlangsung, saya mengalami batuk-batuk dan sakit tekak sehingga sedikit menjejaskan vokal.

“Kalau ikutkan doktor, dia tak bagi menyanyi dan mahu saya berehat sehingga keadaaan kembali pulih. “Bagaimanapun, saya tak boleh nak ikut semua kerana sebagai penyanyi kita terikat dengan komitmen yang sukar untuk dielakkan. Meskipun demam atau kurang sihat, saya kena cuba buat yang terbaik dalam kemampuan ketika itu,” jelasnya. Sungguhpun begitu, kata Dayang, bebanan tersebut tidak begitu dirasai kerana konsert itu turut menampilkan rakan duetnya, Hael Husaini. “Mujurlah Konsert Minggu Ini dijayakan bersama dengan Hael. Jadi jumlah lagu yang dinyanyikan tidaklah sebanyak mengadakan persembahan solo.

“Hael banyak membantu sekali gus memudahkan saya menyempurnakan persembahan ini dengan sebaik mungkin. “Paling best, semua penonton yang hadir memberikan sokongan penuh pada saya apabila turut menyanyi bersama-sama sepanjang konsert berlangsung,” ujarnya terharu. Menerusi konsert tersebut, Dayang tampil dengan seleksi lagu hit yang pernah menaikkan namanya sebelum ini. Antaranya ialah Ingin Ku Miliki, Sebentar, Hakikat Cinta, Pintaku Yang Terakhir, Seandainya Masih Ada Cinta, Lelaki Teragung, Di Pintu Syurga dan Dayang Sayang Kamu.

Tidak ketinggalan duetnya bersama Hael menerusi lagu Mulanya Di Sini, Hari Ini dan Haram. Tambah Dayang lagi, Konsert Minggu Ini yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 itu merupakan kolaboratif pertamanya bersama Hael dalam satu persembahan penuh. “Sebenarnya ini merupakan konsert pertama kami berdua untuk sebuah persembahan penuh. Selalunya hanya tampil sebagai penyanyi undangan sahaja untuk berduet dalam beberapa persembahan. “Ia merupakan pengalaman dan kerjasama yang menyeronokkan buat saya. Insya-ALLAH, jika diberikan peluang lagi dan kalau ada rezeki lain pada masa akan datang, kami berbesar hati untuk bergandingan lagi.

“Lagi pun memang rasa tak puas hati kerana saya kurang sihat pada konsert pertama kami ini. Semoga ada peluang lain untuk kami bekerjasama lagi kerana saya rasa serasi dengan gandingan ini,” akui Dayang. Dalam perkembangan lain, penyanyi membawa genre muzik R&B itu, baru sahaja muncul dengan single terkininya, X Missing U menerusi kolaboratif bersama Faizal Tahir, Tuju dan Yonniboii.