Doktor simpati seorang ibu hilang anaknya di rumah pengasuh. Doktor ini memberi pesanan perkara perkara kecil yang mungkin boleh membawa bahaya pada anak kecil.

Sering kali kita mendengar berita mengenai tragedi duka membabitkan kanak-kanak atau bayi di rumah pengasuh. Sama ada ia berpunca daripada kecuaian ataupun perbuatan buruk, yang pasti ia meninggalkan trauma kepada ibu bapa. Sebagaimana coretan seorang doktor ini di Facebook, beliau berkongsi kejadian yang mana seorang kanak-kanak menghembuskan nafas terakhir akibat lemas ketika di bawah jagaan pengasuhnya.

Menurut Pegawai Perubatan Pediatrik, Dr Redza Zainol, keadaan kanak-kanak tersebut sudah ‘biru’ dan sejuk sebaik sahaja tiba di Jabatan Kecemasan di hospital tempatnya bekerja. “Tak bernafas dan tak bergerak. Tiada degupan jantung kedengaran bila bayi diperiksa. Matanya tertutup, mulutnya sedikit terbuka. ‘Tolong saya doktor. Anak saya lemas. Tolong dia, tolong dia, ” demikian coretan doktor berkenaan mengimbas kembali saat genting ketika si ibu merayu agar anak kecilnya diselamatkan doktor. Menurut Dr Redza, menerusi penceritaan ibunya, anak kecilnya itu merupakan anak tunggal dan dijaga oleh pengasuh pada waktu siang.

Elakkan menakung air di dalam baldi bagi mengelakkan kejadian tak diingini berlaku. -Gambar hiasan

Pada hari kejadian, tanpa disedari pengasuh, anak kecilnya itu masuk ke tandas bersendirian. “Pintu tandas di rumah pengasuh walaupun ditutup tapi tak dikunci. Dia masuk ke tandas bersendirian dan nampak baldi yang penuh dengan air. Pada masa dia dijumpai pengasuh, kepalanya ada di dalam baldi dan kakinya ke atas. Pengasuh terus menarik anak ini keluar, namun kaki, tangan dan mulutnya sudah membiru. Berapa lama dia dah terjatuh ke dalam baldi, tak ada siapa yang tahu. Satu minit atau 10 minit, entahlah. Mana tahu pagi itu adalah hari terakhir ibunya lihat dia tersenyum. ‘Maafkan saya puan. Anak puan dah tak ada lagi’. Menyesal pun tak berguna. Masa yang dah berlalu tak boleh diputar semula,” tulis doktor berkenaan.

Pastikan penutup mangkuk tandas dalam keadaan tertutup sentiasa kerana kepala anak kecil boleh masuk secara tak sengaja. -Gambar hiasan

Mengulas lebih lanjut, Dr Redza berkata kepala bayi atau anak kecil yang tenggelam dalam air sedalam dua inci sudah mampu membuatkan mereka lemas. “Anak yang lemas tak mampu menjerit meminta tolong. Air yang masuk ke dalam paru-paru akan buatkan paru-paru jadi basah dan tak berfungsi lagi. Empat minit tanpa oksigen sampai ke otak, sudah cukup untuk buatkan kerosakan kekal pada otak anak,” tulisnya.

Dia masuk ke tandas bersendirian dan nampak baldi yang penuh dengan air. Pada masa dia dijumpai pengasuh, kepalanya ada di dalam baldi dan kakinya ke atas.

Justeru sebagai peringatan bersama, Dr Redza turut menitipkan beberapa panduan kepada ibu bapa atau pengasuh bagi mengelakkan kejadian seumpamanya daripada berlaku. “Sebelah tangan kita sentiasa memegang anak, sebelah lagi tangan untuk kita ambil alatan mandian dan tuala bayi. Dan semua alatan ni mestilah dalam jangkauan tangan kita. Susun dulu semua alatan ni sebelum letakkan bayi di dalam tempat mandian bayi. Jangan tinggalkan anak sendirian atau tinggalkan anak untuk dijaga oleh anak kecil lain walaupun sekejap.” Katanya.

Cara yang lebih mudah, pastikan pintu tandas dalam keadaan ditutup dan diselak agar tidak mudah dimasuki anak kecil. -Gambar hiasan

“Penutup tempat duduk tandas ditutup sepanjang masa. Kepala anak kecil yang dah pandai berjalan boleh termasuk ke dalam lubang tempat duduk tandas dan lemas secara senyap. Sebaiknya, selak terus pintu tandas supaya tak dimasuki oleh anak kecil. Kosongkan baldi, tong sampah atau apa-apa bekas yang boleh menakung air,” kongsinya. Sehingga kini posting tersebut meraih sehingga 798 perkongsian di Facebook.