DS Ismail Sabri umum berita gembira apabila kokurikulum dibenarkan tapi bersyarat dapat maklum balas positif dari ramai. Dia buka mulut cerita sebab kenapa dia nekad membenarkan perkara sedemikian.

Satu berita baik buat pelajar sekolah di negara ini apabila mereka dibenarkan melakukan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah bermula 1 September depan. Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin petang. Tambah Ismail, hal itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah mereka meluluskan pembentangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai garis panduan aktiviti tersebut.

“Garis panduan ini merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal,” katanya. Ismail Sabri juga berkata antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga, penggunaan bilik mandi dan persalinan dihadkan mengikut kapasiti, memastikan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik serta peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi.

Katanya aktiviti sukan dan kokurikulum juga perlu mematuhi Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta KPM, yang sedia ada.

Semua aktiviti sekolah dibenarkan, kecuali sukan, kokurikulum bersemuka dan perhimpunan

Semua aktiviti sekolah dibenarkan apabila sesi persekolahan dibuka semula nanti, kecuali sukan, kokurikulum bersemuka dan perhimpunan serta program yang membabitkan himpunan ramai guru dan murid. Makluman SOP Pembukaan Semula Ekonomi bagi sektor pendidikan yang dikongsi Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, turut menetapkan individu dengan bacaan suhu badan lebih 37.5 Celsius serta menunjukkan simptom seperti sakit tekak, batuk dan sukar bernafas tidak dibenarkan masuk ke sekolah.

Ia juga memaklumkan, rekod suhu badan guru, murid dan warga sekolah serta pekerja kontrak akan diambil di pintu pagar atau tapak perhimpunan sekolah setiap hari. Garis panduan itu bagi memastikan semua murid, guru dan warga sekolah melalui saringan kesihatan yang dilaksanakan setiap hari di lokasi yang ditetapkan sebelum sesi persekolahan bermula. Selain itu, mereka yang mahu mengunjungi sekolah juga perlu memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera ke dalam telefon bimbit masing-masing untuk rekod pengesanan kontak rapat.

Pengurusan sekolah turut diwajibkan membuat hebahan mengenai langkah kebersihan dan keselamatan pada waktu pagi, rehat dan sebelum sesi persekolahan tamat, termasuk ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. “Setiap individu yang berada di sekolah perlu mematuhi penjarakan sosial satu meter, memastikan murid, guru dan warga sekolah kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun. “Cecair pembasmi kuman pada tangan boleh digunakan sekiranya tiada kemudahan air dan sabun,” demikian menurut makluman itu lagi.

Sesi persekolahan yang akan dibenarkan beroperasi kelak hanya membabitkan kelas peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Mulai 19 Mac lalu, semua jenis sekolah di Malaysia diarah tutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19. Ia membabitkan semua prasekolah, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat, pusat tahfiz, kolej dan pusat GENIUS dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti serta Institut Pendidikan Guru.

Serentak itu, murid sekolah tidak boleh menghadiri aktiviti seperti tuisyen, latihan sukan dan kegiatan kokurikulum. Bagaimanapun, kakitangan yang mengendalikan hal ehwal kewangan, keselamatan dan kebersihan dibenarkan hadir bertugas kerana termasuk dalam senarai perkhidmatan penting, namun jumlah pekerja mesti diminimumkan.

KPM keluar garis panduan buka semula sekolah

Hanya pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam akan dibenarkan untuk kembali ke sekolah apabila ia dibuka semula. Sementara yang lain pula akan menjalani pembelajaran dari rumah sehingga dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Dalam garis panduan baru yang dikeluarkan untuk pembukaan semula sekolah, sesi persekolahan hanya untuk pelajar Tingkatan Lima yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), dan pelajar Tingkatan Enam yang mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM ) dan Sijil Tinggi Agama Islam Malaysia (STAM), serta semua peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Home-based learning untuk peringkat yang lain sehingga dimaklumkan KPM. Pertandingan ko akademik dan ko kurikulum (akan dibuat secara) dalam talian,” menurut garis panduan itu. Bagaimanapun, semua kakitangan sekolah dijangka akan kembali bekerja sebaik sekolah dibuka semula. Semua aktiviti dibenarkan, kata garis panduan itu lagi, kecuali untuk sukan, aktiviti kokurikulum bersemuka dan sebarang bentuk perhimpunan sekolah atau aktiviti yang melibatkan murid, guru dan warga sekolah berkumpul beramai-ramai.

Sekolah satu sesi akan bermula dari jam tujuh pagi hingga empat petang, sementara sekolah dua sesi akan beroperasi dari jam tujuh pagi hingga 6.45 petang. Mereka yang mempunyai urusan di sekolah akan dibenarkan masuk dari jam lapan pagi hingga 5.30 petang.  Protokol yang dikeluarkan dalam garis panduan ini merangkumi jarak sosial, kebersihan tangan, pemeriksaan kesihatan, pembersihan dan sanitasi, hebahan maklumat langkah kesihatan dan keselamatan, susun atur meja dan aplikasi MySejahtera. Suhu badan setiap orang di sekolah, termasuk guru, pelajar dan pekerja kontrak, mesti diambil dan direkodkan.

“(Sekolah mesti) memastikan semua murid, guru dan warga sekolah melalui saringan status kesihatan dilaksanakan setiap hari di lokasi yang ditetapkan sebelum sesi persekolahan bermula. “Pemeriksaan ini juga dilakukan untuk mereka yang mempunyai urusan di sekolah. “Mereka dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcisu dan menunjukkan gejala seperti sakit tekak, batuk dan kesukaran bernafas tidak akan dibenarkan masuk ke premis sekolah,” kata panduan itu.