Ebit Lew tiada maklumat kebenaran khas hantar misi bantuan ke kawasan Taman- Taman Sabah

Rentetan isu pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew tidak dibenarkan meneruskan misi bantuan kemanusiaan di kawasan pulau-pulau di Semporna, Taman-Taman Sabah (TTS) tampil memberikan penjelasan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook TTS pada Rabu, ia tidak menerima makluman awal daripada rombongan Ebit untuk kebenaran khas memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

Menurut TTS, seperti yang telah dimaklumkan di media sosial pada 12 Januari lalu bahawa seluruh kawasan TTS ditutup sementara kepada orang awam bermula 13 Januari 2021 selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kenyataan itu turut berkata, pihak TTS membenarkan rombongan Ebit memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran hanya setelah mendapat makluman daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pihak TTS sangat menyokong usaha murni bantuan prihatin yang disalurkan kepada komuniti di dalam semua Taman di seluruh Sabah.

“Kebenaran khas diperlukan untuk memasuki mana-mana kawasan Taman yang kini ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak pengurusan TTS juga amat menghargai pendirian dan ketegasan pegawai dan renjer Taman di Taman Marin Tun Sakaran yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas mereka melindungi kawasan Taman yang kini dalam fasa rekuperasi atau kerehatan daripada gangguan pelancong dan pelawat taman.

“Perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi taman di seluruh TTS akan tetap diteruskan termasuk semasa tempoh Pelaksanaan PKP pandemik Covid-19 dan tempoh perintah berkurung di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, pihak TTS mengeluarkan kenyataan itu susulan daripada aduan dan kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial bernama Ebit Liew pada Selasa dan pihak TTS mendapati kawasan pulau-pulau di Semporna yang dimaksudkan oleh beliau adalah kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

Ebit dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya mendakwa tidak dibenarkan masuk ke pulau-pulau di Semporna dan diminta untuk menghentikan bantuan selain memaklumkan bahawa beliau boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau ditahan tiga tahun.

Sumber: Sinar Harian