FINAS meminta penggiat seni tidak seharusnya panik apabila ada sesetengah pihak mempertikaikan hala tuju peruntukan yang diberikan menerusi Cendana.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyambut baik keputusan kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM15juta kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya atau Cendana.

Pengumuman tersebut dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku menerusi pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen pada Jumaat lalu. Ahmad Idham berkata keputusan tersebut wajar dihargai dan penggiat seni perlu bijak memanfaatkan peruntukan ini untuk kelangsungan kerjaya mereka. Namun kata beliau, penggiat seni tidak seharusnya panik apabila ada sesetengah pihak mempertikai hala tuju peruntukan yang diberikan menerusi Cendana.

“Sepertimana yang kita tahu Cendana ini memang fokusnya lebih kepada mempromosikan dan menjana ekonomi seni persembahan, industri kreatif dan kebudayaan. Memang peruntukan tersebut tidak ada kena mengena dengan Finas kerana Cendana yang akan mengawal selia semuanya. Tetapi penggiat seni lain tak usah panik hanya kerana peruntukan tidak diberikan kepada Finas. Insya-Allah kita (Finas) ada dana pengurusan dan dana pembangunan yang mencukupi sehingga tahun hadapan,” katanya.

Tambah Ahmad Idham lagi, Finas turut mengalu-alukan penggiat seni yang mempunyai kemusykilan untuk merujuk perkara tersebut kepada perbadanan. Jangan khuatir atau bimbang kerana dana kita masih mencukupi. Tak ada istilah kalau tidak disebut dalam belanjawan maknanya benda tu tak ada. FINAS sudah bekerja dari awal untuk memastikan dana dan peruntukan untuk penggiat seni filem dan drama serta belakang tadbir mencukupi. Cuma suka untuk saya tekankan di sini, kepada penggiat-penggiat industri…Kita tahu paksi kita adalah Finas, jadi jika ada kemusykilan atau apa-apa rujuklah kepada Finas. Jangan merujuk kepada individu-individu yang mungkin ada agenda politik. Seperti yang saya selalu pesan jangan menggunakan politik untuk memanipulasikan pemikiran orang-orang industri. Perkara seperti itulah yang akan mencetuskan panik tanpa sebab,” katanya.

Dalam pada itu tinjauan Gempak mendapati penggiat seni tanah air berharap peruntukan sebanyak RM15 juta terhadap penggiat seni dan petugas produksi belakang tadbir sempena Belanjawan 2021, dapat agihkan secara menyeluruh kepada semua yang berhak.