Harga tudung menyamai sebuah kereta mewah antarabangsa hingga tersenarai Malaysia Book of Records buat warganet terkedu. Dia tampil bongkar sesuatu yang ramai tak tahu. Sampai begitu sekali harga tudung sungguh tak masuk akal

Siapa sangka, sehelai tudung mampu mencecah nilai RM100,000 hampir menyamai harga sebiji kereta buatan luar negara? Ya, tudung milik pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri itu berjaya melakarkan sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai tudung termahal di dunia! Kata Haliza, ketika menerima pemberian daripada pengeluar batu kristal tersohor dunia, Swarovski, dia hanya mampu menangis dan terkedu. “Saya menangis tak terkata ketika mendapat hadiah yang sangat luar biasa ini. Terlalu gembira. “Tidak sangka sama sekali hajat saya untuk melihat kilauan batu kristal Swarovski direalisasikan pada sehelai tudung,” katanya kepada Gempak.

Pemberian Swarovski kepada Haliza sebagai tanda penghargaan kerana menjadi pemborong batu kristal terbesar dunia. Tudung bawal berwarna hitam itu ditaburi 7,512 butir batu kristal Swarovski pelbagai warna dan bentuk. Jelas Haliza lagi, tudung berdiameter 1.14 meter itu mengambil masa selama 320 jam (13 hari) untuk disiapkan oleh 12 tenanga pekerja di Austria. Sementara itu, menurut pengurus jualan Swarovski Malaysia, Teo Zi Wei, tudung itu menjadi projek paling lama pernah disiapkan syarikat terbabit. “Proses menyiapkan tudung ini mengambil masa yang lama kerana ia perlu dilakukan dengan teliti dan mengambil kira posisi tudung apabila dipakai. “Tambah pula ia dihasilkan oleh pekerja di Austria yang tidak biasa dengan tudung bawal,” katanya. Haliza memberitahu tudung terbabit tidak akan dijual kepada mana-mana pihak dan akan dipamerkan di butik Bawal Exclusive yang akan siap pada 1 September depan.

Tudung bawal RM50,000, paling mahal di dunia

Haliza menunjukkan tudung Bawal Exclusive berharga RM50,000 pada majlis penyampaian tudung tersebut di Kuala Lumpur. Syarikat  hijab mewah tempatan, Bawal Exclusive memperagakan tudung paling mahal yang pernah dihasilkan di dunia bernilai RM50,000 di Kuala Lumpur malam tadi. Menurut pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, tudung paling mahal di dunia itu menjadi milik seorang ahli perniagaan dari Kuantan berusia 35 tahun yang menempahnya melalui butik premium, ByQiss by Bawal Exclusive di Pahang. Katanya, kejayaan penghasilan tudung tersebut sekali gus memadamkan rekod jualan sehelai tudung mereka sebelum ini bernilai RM33,000 oleh seorang wanita dari Kelantan pada tahun lalu.

“Tudung mewah ini dihasilkan sepenuhnya menggunakan kain jenis Voile, yang diimport dari Jepun dan bertatahkan lebih 10 warna batu kristal Swarovski. “Ia dibuat sepenuhnya di Austria dengan ilham padang pasir berbunga, sesuai dengan personaliti pemiliknya,” katanya pada majlis penyampaian tudung termahal tersebut di Hotel St. Regis di sini. Walaupun terkenal dengan tudung mewah, Bawal Exclusive turut menawarkan pelbagai pilihan rekaan dan warna tudung bermula dengan Bawal Tabur serendah RM57 sehelai. Mengimbau perjalanan perniagaannya, Haliza berkata, tiada siapa yang menjangka perniagaan yang beliau mulakan bersama suami, Mohd Rosli Awang pada tahun 1998 kini mampu menjadi jenama tudung yang semakin terkenal.

“Bermula di gerai kecil di Jalan Tunku Abdul Rahman, Bawal Exclusive kini bukan sahaja memiliki bangunan sendiri, bahkan turut mempunyai 10 butik premium dan 35 ejen jualan di seluruh Malaysia,” katanya. Sementara itu, pemilik butik ByQiss by Bawal Exclusive, Datin Hamizan Putih berkata, walaupun ada pihak yang mempersoalkan kewajaran membeli tudung bernilai ribuan ringgit, namun tidak salah untuk para wanita dihadiahkan atau menghadiahkan diri sendiri dengan tudung eksklusif tersebut. “Sebagai wanita yang istiqamah dalam menjaga aurat, tidak salah rasanya untuk memakai tudung eksklusif ini kerana ia akan turut memberi motivasi kepada wanita untuk bekerja lebih keras terutamanya dalam kalangan wanita pantai timur yang terkenal dengan semangat keusahawanan mereka,” katanya.

Harga RM2,500 Untuk Sehelai Hijab? Tiada Masalah! Tudung Vivy Sold Out Bak Goreng Pisang Panas

Jenama tudung premium tempatan popular, dUck Scarves bagi edisi The Luxe Chiffon Lace yang ditawarkan pada harga RM2,500 sehelai laris terjual. Berkongsi berita itu di laman Instagram rasmi jenama berkenaan, kesemua lapan warna pilihan telah habis terjual secara online dalam masa beberapa hari sahaja. Apa yang membuatkan tudung terbaru itu mencecah harga sehingga RM2,500 adalah kemasan batu kristal Swarovski serta gabungan renda sifon yang anggun. “The Luxe Chiffon Lace Duck adalah tudung edisi terhad dihasilkan secara teliti dengan taburan hampir 1,300 butir kristal Xirius Rose Swarovski buatan Austria.

“Tudung itu turut dilengkapi dengan sempadan renda yang mewah dan menggunakan kristal yang dianggap ‘paling cemerlang’ daripada Swarovski,” tulis jenama itu di ruangan kapsyen Instagram.Di Instagram, rata-rata warganet memuji keindahan koleksi terbaru keluaran dUck itu namun tidak mampu untuk memilikinya. Malah ada yang meminta supaya dUck mengeluarkan koleksi yang sama tetapi mengurangkan jumlah taburan kristal supaya harganya tidak terlalu mahal. Lain pula dengan warganet di Twitter, ramai juga yang mengkritik pengasasnya, Datin Vivy Yusof kerana meletakkan harga ribuan ringgit untuk sehelai tudung. Namun, ada yang mempertahankan perlakuan Vivy kerana merasakan tudung mahal itu khusus dibuat menepati selera mereka yang mampu.