Ibu tunggal ini tolak troli 5km semata mata hanya menjual Nasi Lemak dan Bihun. Annuar Musa tampil berikan pengumuman ini.

” Nasi lemak miss? Hanya RM2 saja” Begitulah gaya Mary, 45, setiap kali menghampiri pelanggan untuk menjual nasi lemaknya. Sejak dua bulan lalu, ibu tunggal ini akan menolak troli sejauh lima kilometer sehari untuk menjaja nasi lemak dan bihun goreng.

Inisiatif itu dilakukan Mary atau nama sebenarnya C Mariamah, selepas diberhentikan kerja sebagai tukang cuci ekoran pandemik COVlD-19 pada September lalu. Mahu tidak mahu, ibu kepada tiga anak perempuan itu perlu terus menyara keluarga dengan apa cara sekali pun walaupun terpaksa membanting tulang empat kerat.

” Saya gunakan troli pasar untuk menjaja makanan sejak dua bulan lalu dengan pendapatan sekitar RM50 sehari. Hasil pendapatan itu, saya membayar sewa rumah RM700 sebulan selain anak yang masih belajar,” katanya. Mariamma atau lebih mesra dipanggil Mary, hilang pekerjaan sebagai pencuci pejabat di awal penularan pandemik COVlD-19 lagi. Apa yang memburukkan keadaan, syarikat tersebut terpaksa ditutup.

Meneruskan kehidupan, Mary mula berniaga buah potong di sebuah restoran mamak berdekatan namun, pulangan yang tidak seberapa agak berat buat ibu tunggal ini untuk menyara anak-anak dan ibu yang tinggal bersama. ” Saya kemudian mencari kerja sebagai tukang cuci pejabat di banyak tempat tetapi tiada satu pun yang berjaya atas alasan pandemik COVlD-19. Kemudian, ibu saya memberi idea untuk memulakan perniagaan sendiri. Kemudian saya terfikir untuk menjual nasi lemak dan di situlah saya bermula,” ujarnya yang tinggal di rumah pangsa Jalan Jugra.

Bangun seawal 3 pagi siapkan nasi lemak

” Apabila memulakan perniagaan tiga bulan lalu, saya menjual 29 paket nasi lemak dan 10 paket mee hoon goreng setiap hari. Selepas itu ia meningkat kepada 40 paket nasi lemak setiap hari. Pelanggan sukakan sambal saya, malah ada yang turut membantu dengan menyiarkan tentang kelazatan nasi lemak saya di media sosial menjadikan lebih banyak pesanan saya terima,” ujarnya. “Rakan-rakan dan pelanggan saya selalu berkata, mereka tidak pernah melihat orang menjual nasi lemak dalam troli dan sayalah orang yang pertama,” ujar Mary sambil ketawa kecil.

Menurut Mary, jika bernasib baik, dia boleh mendapat sehingga RM80 dari jualan paginya. Tetapi ibu tunggal ini tidak berhenti di situ, setelah kembali ke rumah dan membersihkan diri dia kemudian akan ke restoran mamak berdekatan untuk menjual buah potongnya pula sehingga jam 5 petang.

Mary memberitahu media ketika ditemui selepas majlis penyerahan gerai penjaja bergerak oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di Jalan Desa Utama, di sini, hari ini. Dapat tahu kisah Mary melalui Twitter, Annuar Musa turun padang beri sumbangan. Sumbangan disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bersama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

Pada majlis itu, Mariamah menerima gerai penjaja bergerak selain lesen penjaja sementara waktu terhad dan bantuan sewa rumah di Projek Perumahan Rakyat Seri Cempaka. Mariamah berkata, dia berterima kasih kepada YWP dan Menteri Wilayah Persekutuan yang sanggup turun padang dan membantu dia menaik taraf kehidupan sebagai penjaja makanan.

” Sumbangan ini besar maknanya kepada kami sekeluarga dan saya berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk berniaga bagi menampung kehidupan. ” Selepas ini saya akan berniaga di bahu jalan utama ini dan diharap orang ramai terus memberikan sokongan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, kesusahan dihadapi Mariamah diketahui menerusi Twitter seterusnya YWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif membantunya. “Kami mahu rakyat di Wilayah Persekutuan dapat hidup dengan selesa dan dalam suasana ekonomi yang mencabar ini, kita akan permudahkan urusan permohonan lesen untuk mereka berniaga,” katanya.

Kuala Lumpur ‘wilayah bebas berniaga’ mulai 15 November – Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, mulai Ahad ini. Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL yang ditawarkan secara percuma.

“Mulai Ahad 15 November ini, Kuala Lumpur akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’ … sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa boleh memilih tempat yang sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan. Permohonan lesen itu bertujuan untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja. Pemohon akan mendapat lesen sementara secara automatik dan kemudian DBKL akan membuat pemantauan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Annuar berkata, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan majlis perwakilan penduduk di ibu negara mengenai perkara itu agar pihak berkenaan memberi kerjasama dengan melakukan pemantauan di peringkat komuniti. Beliau seterusnya mengingatkan para peniaga agar tidak berniaga di lokasi yang boleh mengancam keselamatan awam, menyebabkan kesesakan lalu lintas, dan perlu menjaga kebersihan di sekitar ibu kota.

Terdahulu, Annuar menyerahkan bantuan gerai, lesen penjaja dan sebuah unit Projek Perumahan Rakyat kepada Nurjahan Mariamah Abdullah, 45, yang hilang pekerjaan sebagai tukang cuci akibat COVID-19 dan kini terpaksa menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa, di sini.

Kisah ibu tunggal dikenali sebagai Puan Mary yang perlu menanggung tiga anak dan ibunya, mula tular sejak beberapa minggu lepas dan mendapat perhatian ramai, termasuk Annuar dan DBKL. Sementara itu, Nurjahan Mariamah melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberi dan beliau bertekad akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya untuk menjana pendapatan dan menaikkan taraf hidup. “Selepas ini saya tidak perlu lagi berjalan kaki dan membahayakan diri untuk berniaga, orang ramai yang ingin beli nasi lemak dan bihun, lebih senang cari saya di gerai,” katanya.

Kredit– BERNAMA