Ingin buang stigma masyarakat terhadap golongan bujang tak laku serta insan yang sering gagal dalam bercinta buat Hael Husaini cetus idea unik ini dalam lagu. Dia buka cerita sebenar fasal lagu dan kisah hidupnya

Penyanyi Hael Husaini menafikan kenyataan yang kononnya, ciptaan single terbaharunya berjudul ‘Bujang’ sebagai gambaran kepada perancangannya untuk mengakhiri zaman solo pada tahun ini. Menurut Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 33, lagu tersebut hanyalah satu bentuk dedikasi yang dituju khas untuk individu berstatus bujang sepertinya. “Eh tak adalah (tahun akhir bujang). Saya buat lagu itu sebab ramai kawan-kawan yang masih bujang dan menanti jodoh, termasuklah diri saya sendiri. “Kalau nak ikutkan sekarang di radio lebih kepada lagu berunsurkan cinta dan putus cinta, jarang kita nak dengar lagu orang nak nyanyi untuk orang solo. Tak kan orang solo ni tak boleh ada lagu,” katanya kepada Gempak.

Begitupun, Hael tidak menafikan bahawa lagu itu merupakan sebahagian daripada gambaran hidupnya kini. Katanya, karya itu salah satu luahan yang lahir daripada hatinya sebagai insan yang masih belum memiliki pasangan. “Boleh juga kata luahan hati saya sebab saya sendiri masih juga bujang. “Saya tak ada lagi lagu-lagu yang saya nak enjoy, jadi inilah untuk lagu untuk siapa-siapa yang bujang.

“Orang selalu kaitkan kalau hidup bujang, sedih, duduk bucu katil, tengok tepi tingkap, jadi apa kata malam ni kita keluar mencari cinta (bait lirik),” katanya. Katanya lagi, buat masa sekarang, dia masih belum lagi menemui wanita yang boleh dijadikan sebagai teman hidupnya. Bagaimanapun, situasi itu tidak pernah menjadikan dirinya berada dalam keadaan tertekan. “Saya masih mencari. Okay je menjadi seorang bujang. Umur semakin meningkat, terfikir gak seronoknya kalau kahwin.

“Tak ada tertekan, tapi kalau boleh nak juga merasa. Kena mencari dan berdoa semoga yang baik-baik (calon) datang,” katanya. Sebelum ini, Hael sering dikaitkan kononnya mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi Dayang Nurfaizah. Bagaimanapun, kedua-duanya menyifatkan keselesaan mereka hanyalah sebagai rakan kerja. – .Gempak

Ezra Kong tiada masalah dengan Hael Husaini

Komposer Ezra Kong menafikan kenyataan dia tidak lagi sehaluan dengan penyanyi dan komposer, Hael Husaini. Ia susulan beberapa lagu yang dilancarkan beberapa artis baru-baru ini tidak membabitkan kerjasama mereka. Antaranya lagu Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali hasil ciptaan Hael Husaini, AEWO (Shiha Zikir feat Noki) ciptaan Ezra Kong, Gila (Kaka Azraff, Noki dan Loca B) ciptaan Noki, Loca B dan Ezra Kong dan yang terbaharu single Bujang nyanyian Hael Husaini hasil ciptaan penyanyi itu dan MFMF.

Ezra berkata, ada beberapa lagu ciptaan mereka belum dilancarkan. “Kami masih bekerjasama cuma lagu tak dilancarkan lagi. Apabila sampai masa sesuai barulah akan dilancarkan. Hael juga mendapat ‘sound’ yang segar daripada penerbit lain. Jadi, dia boleh teruskan dan berevolusi dalam industri muzik ini. “Kalau ditanya kami sedang bermasalah atau wujud sebarang isu, bagi saya tak kerana kami okay saja.

Saya kini masih dan sedang terbitkan lagu yang ditulis bersama Hael. Saya tak pernah tak okay dengan Hael,” katanya kepada Harian Metro. Ezra dan Hael pernah bekerjasama menerusi lagu Jampi, Hajat, Haram, Anta Permana, Canggung dan Belenggu Rindu. Dalam masa sama, Ezra berkata, dia juga turut bekerjasama dengan beberapa penulis lain. “Ada ramai juga penulis yang bekerjasama dengan saya. Cuma, lagu bersama Hael masih dalam proses penerbitan. Kalau dia putuskan untuk lancarkan lagu itu, mungkin awal tahun depan,” katanya.-My Metro