Disebabkan terlalu risau dengan keadaan anak anak yang sering bermain dengan akaun media sosial. Kini Instagram perkenalkan cara ini untuk sentiasa pastikan mereka gunakan secara berhemah.

Pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan media sosial oleh anak-anak sangat penting. Laman sosial bukan sahaja digunakan oleh golongan dewasa malah golongan remaja dan kanak-kanak yang membolehkan mereka mengakses pelbagai perkara tanpa sebarang sekatan. Situasi itu boleh menjadi berbahaya kerana tanpa sebarang kawalan boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai perkara tidak bermoral termasuk menjadi mangsa buli siber.

Menyedari tentang perkara itu, Instagram melancarkan Panduan Ibu Bapa untuk Instagram bagi membantu mereka memahami dengan lebih baik ciri-ciri untuk menjaga keselamatan anak-anak ketika menggunakan media sosial. Di samping itu, ia juga memastikan kesinambungan pengalaman positif serta panduan untuk memulakan perbualan di rumah mengenai keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.

Hampir setiap kanak-kanak dan remaja mempunyai telefon dan media sosial.

Apa menariknya, panduan ini didatangkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dilancarkan bersempena degnan kempen #RealTalk Instagram, sebuah inisiatif diperkenalkan sejak November tahun lalu untuk menormalkan topik berkenaan kesejahteraan mental dalam kalangan remaja.

Panduan Ibu Bapa ini dihasilkan bersama MIASA Malaysia, sebuah NGO yang banyak mengusulkan langkah-langkah untuk melindungi kesihatan emosi dan mental. Panduan ini bertujuan untuk memperkasa dan melengkapkan ibu bapa sebelum memulakan perbualan mengenai kesejahteraan emosi dan mental anak-anak mereka, terutamanya dalam melalui fasa-fasa sukar pada masa ini. Pautan muat turun panduan itu juga boleh didapati secara percuma di akaun MIASA, dan juga di laman web Panduan Ibu Bapa Instagram yang boleh dimuat turun tidak lama lagi.

“Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengubah stigma berhubung subjek kesejahteraan mental di kalangan remaja. Dengan pandemik Covid-19 yang mempratikkan keperluan untuk penjarakan fizikal, kebanyakan anak-anak dan keluarga telah pun beralih kepada penyelesaian digital untuk belajar, bersosial dan bermain. Kami ingin menyokong dan mendorong ibu bapa untuk mengadakan perbualan terbuka dengan anak-anak ke arah kesejahteraan mental dan keselamatan dalam talian secara keseluruhan,” kata Philip Chua, Ketua Dasar Awam Instagram, APAC.

Media sosial boleh mendedahkan remaja menjadi mangsa buli dan kemurungan.

Tinjauan isi rumah yang dijalankan oleh World Vision household survey baru-baru ini mendapati bahawa 19 peratus kanak-kanak mengalami tekanan yang teruk dan lima peratus mengalami penyakit mental semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Menurut MIASA, anak-anak ini kadang-kala tidak dapat menghadiri proses terapi kerana persetujuan ibu bapa diperlukan.

Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar berkata, kekurangan pengetahuan atau pemahaman mengenai isu ini, ibu bapa tidak dapat mengesan atau memberi tindak balas sewajarnya kerana kurang peka betapa seriusnya penyakit mental tersebut untuk memberi tindakan atau sokongan sepatutnya.

“Remaja mengalami kemurungan lebih lama daripada yang diketahui oleh ibu bapa mereka. Terdapat beberapa sebab mengapa perkara ini berlaku, antaranya stigma gangguan kesihatan mental, pengetahuan mengenai kesihatan mental yang kurang dan remaja yang tidak ingin berinteraksi kerana mereka menyalahkan diri sendiri dan tidak mahu menyusahkan ibu bapa mereka. Oleh itu, amat penting bagi ibu bapa untuk mengetahui tanda-tanda dan bersikap inklusif apabila terdapat permintaan pertolongan serta membantu mereka di dalam proses pemulihan. Anak-anak harus berasa selamat untuk mendapatkan bantuan, ” katanya.