Jangan sembunyikan sejarah perjalanan. Terkini pesanan daripada Pengarah Kesihatan Terengganu buat seluruh masyarakat supaya dapat mengurangkan penyebaran virus covid 19.

KUALA TERENGGANU – Pesakit atau kontak rapat kepada individu yang dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) diminta supaya tidak menyembunyikan sejarah perjalanan bagi membolehkan proses pengesanan serta sanitasi dilakukan terhadap kawasan yang pernah dikunjungi. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, langkah memberi maklumat yang tepat kepada pihak kesihatan dapat membantu mengurangkan penyebaran rantaian penyakit itu kepada individu lain.

“Jika setiap daripada kita bekerjasama memberikan maklumat tepat, ia dapat membantu menghentikan penularan penyakit ini daripada menjangkiti lebih ramai individu lain dan kita akan berusaha mengesan seberapa ramai kontak kepada pesakit yang didapati positif. “Ia bermakna lebih ramai yang disaring atau dikuarantin lebih berkesan untuk kita menghentikan penyebaran penyakit ini kepada orang lain.

“Jadi, dalam situasi sekarang, kerjasama mereka yang terbabit terutama dalam berkongsi maklumat tepat melibatkan sejarah perjalanan mereka amat diperlukan supaya kita dapat terus menghalang pandemik ini,” katanya ketika ditemubual stesen radio tempatan, Terengganu FM hari ini berhubung situasi semasa Covid-19 di negeri ini. Mengulas situasi semasa Covid-19 di Terengganu, beliau berkata, sebanyak 30 kes positif direkodkan sehingga semalam dengan jumlah kes yang dilaporkan sebanyak 114 kes sehingga semalam.

“Sehingga semalam terdapat 30 kes Covid-19 di Terengganu dengan seorang telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah manakala masih ada 29 orang yang sedang dirawat di Hospital Hulu Terengganu,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai diminta agar tidak panik atau menyebarkan berita palsu kerana penularan Covid-19 di negeri ini masih terkawal.

“Situasi Covid-19 di Terengganu boleh dikatakan masih terkawal kerana kesemua 29 kes positif berada di hospital dan sedang dirawat manakala semua kontak rapat mereka sebahagian besar telah diasingkan (kuarantin) sama ada di rumah atau berada di pusat kuarantin. ‘Ia bermaksud secara amnya belum ada lagi penularan pandemik ini dalam kalangan masyarakat buat masa ini, Insya-ALLAH,” katanya. Nor Azimi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan penting. “Jika tiada keperluan penting, kita harap orang ramai terutama golongan yang berisiko supaya dapat terus tinggal di rumah bagi mengelakkan diri terdedah kepada jangkitan penyakit ini,” katanya.

Sumber: SinarHarian