Jatuh semasa di set pengembaraan hingga buat kaki Nadia Brian mengalami terseliuh hingga jejas aktiviti seni buat sementara waktu. Dia buka cerita sebenar mengenai kejadian tersebut buat ramai bersimpati

Pelakon Nadia Brian menjelaskan dia akan berehat dari berlakon buat masa sekarang memandangkan keadaan kakinya makin membimbangkan. Menurut Nadia, 29, dia terpaksa menolak tawaran telefilem sehingga pulih sepenuhnya. “Masa kejadian itu sepatutnya saya rehat tetapi disebabkan tak nak susahkan pihak produksi saya teruskan juga. Padahal pihak produksi ada bagi saya masa untuk berehat. “Masa penggambaran tak ada pun bergerak banyak tapi mungkin terlebih guna kaki sebab itu bengkak sangat.

“Oleh sebab itu, saya menolak tawaran telefilem sehingga keadaan kaki baik sepenuhnya. “Dalam bulan nanti, 10 Insya-Allah baru saya kembali ke set penggambaran,” katanya kepada Gempak. Sementara itu, pelakon filem Ratu Kala Jengking : Puteri itu bersyukur kerana dijaga sepenuhnya oleh ibu sepanjang berada dalam keadaan tidak sihat. “Saya rasa hilang nikmat Allah bila sakit macam ni. Saya tak pernah luka sepanjang berada karier lakonan. “Masa saya kecil pun jarang sakit sehinggakan perlu ke hospital. Ini kali pertama. Apapun, doakan saya cepat sembuh. “Saya bersyukur sangat ibu saya yang menjaga sepanjang sakit ini. Bagi orang di luar sana yang ada ibu lagi tu hargailah selagi ada,” katanya lagi. Sebelum ini, Nadia ada berkongsi beberapa keping foto keadaan kakinya di Instagram (IG) miliknya.-Gempak

Salah ‘mendarat’, Nadia Brian luka di lokasi

Beraksi dengan ular dan kala jengking, tiada masalah. Namun, sudah takdir, main badminton pula buat hal. Itulah yang berlaku kepada pelakon filem Ratu Kala Jengking, Nadia Brian yang mengalami luka ketika bermain badminton ketika menunggu giliran berlakon di set penggambaran drama bersiri Rudy vs Jolie di Kuantan, Pahang, kelmarin. Berikutan kejadian itu, kaki kiri Nadia retak hingga dia perlu berkerusi roda. Menceritakan kejadian itu, Nadia berkata, ketika bermain badminton, dia melompat, tetapi apabila ‘mendarat’, posisi kakinya tidak betul.

“Saya salah ‘mendarat’ hingga kaki terseliuh. Selepas satu jatuh, kru produksi membawa saya ke klinik berhampiran. Doktor beritahu tisu kaki saya luka atau boleh dikatakan retak. “Agak sakit juga keadaannya hingga kaki jadi biru. Hendak bergerak pun saya perlu memakai kerusi roda. Tapi selepas berurut sebentar tadi, kurang sikit rasa sakitnya,” katanya kepada BH Online. Nadia reda dengan perlakuan itu biarpun kali pertama ditimpa dengan suatu kejadian yang tidak diduga di tempat kerja. Namun, Nadia terkilan tidak dapat meneruskan penggambaran drama arahan Shuhaimi Lua itu.

Tambah Nadia, dia diberi cuti rehat selama lima hari. “Saya sangat berterima kasih Shuhaimi kerana faham keadaan saya. Ini termasuk kru dan pelakon lain yang bertimbang rasa menyusun semula jadual penggambaran disebabkan babak saya ditarik sementara waktu. “Mereka meneruskan penggambaran untuk babak lain yang tidak membabitkan saya. Saya akan kembali ke set penggambaran sebaik kaki sembuh,” katanya. Nadia berharap kakinya cepat pulih agar penggambaran dapat diselesaikan segera.

“Sudahlah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan penggambaran tertangguh, kemudian, saya pula terseliuh sehingga terpaksa menyusun balik jadual, jadi sedikit sebanyak rasa bersalah. “Sudahlah produksi kejar masa untuk cepat siap kerana banyak stesen televisyen (TV) menyiarkan drama lama. Kalaulah saya lebih berhati-hati… Namun, itulah benda hendak jadi,” katanya. Selain Nadia yang memegang peranan sebagai Jolie, drama bersiri 20 episod itu membariskan Aidit Noh, Sharifah Husna, Raja Azmi dan ramai lagi.

Selepas ini, Nadia akan menjayakan drama untuk slot Samarinda TV3, berjudul Aku Yang Kau Gelar Isteri. “Alhamdulillah, jadual saya penuh dengan penggambaran. Selepas ini, saya mahu mencari tawaran berlakon filem kerana rindu dengan layar perak. “Selepas menonton filem Shift Malam Raya yang ditayangkan di Astro First pada PKP, bertambah rasa rindu,” katanya.-Berita Harian

Nadia Brian okay dengan suami

Pelakon Nadia Brian, 29, menafikan kenyataan rumah tangga yang dibina bersama suami, Muizz Nasruddin sedang dilanda badai. Ia susulan sikap pelakon itu yang tidak memuat naik gambar bersama suami selepas kali terakhir pada Aidilfitri lalu. Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi Brian ketika dihubungi berkata, dia bersama suami okay. “Saya ada saja kongsi gambar bersama, tapi soal peribadi saya memang tak suka kongsi di media sosial. Apa yang penting dikongsikan ialah mengenai kerja. Tak semestinya tidak memuat naik gambar bersama tak bahagia dan tak gembira.

“Memanglah orang tanya, tapi sekarang fokus saya pada ibu dan nenek saya yang tak sihat. Saya tak nak fikir mengenai orang lain. Sekarang ini untuk keluarga dan diri sendiri saja. “Dengan suami okay saja. Saya tak nak ulas banyak mengenai dirinya. Dia pun perlukan privasi sebab dia bukan orang industri hiburan. Mungkin dia tak biasa. Dia okay dan sentiasa menyokong saya. Saya doa yang baik-baik saja dan harap doa yang baik-baik untuk kebaikan semua orang,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Nadia yang juga pelakon filem Ratu Kala Jengking : Puteri turut menangis ketika ditemubual terutama apabila bercakap mengenai rumah tangga. “Sedih sebab perkahwinan ini kita nak bahagia dan sampai bila-bila. Mungkin ada macam dugaan Allah SWT hantar dan macam mana kita kawal. Apa-apa pun saya berserah kepada hati dan niat dan mencari kebahagiaan. Biasalah awal perkahwinan akan ada pasang surut. Apa yang penting saya tak buat masalah dalam kerja dan buat masalah dengan sesiapa pun. Saya hanya dengan diri sendiri dan fokus kerja,” katanya.Nadia dan Muizz berkahwin pada 9 November tahun lalu. -My Metro