Kalis dosa ke harga tudung cecah ratusan ribu ringgit jadi pertikaian ramai apabila tak berpuas hati tergamak jual dengan harga sedemikian. Pengasas Bawal Exclusive tampil bersuara jelas perkara sebenar pada umum

Pada Khamis lalu, pengasas Bawal Exclusive mempersembahkan sehelai tudung yang diiktiraf termahal di dunia bernilai RM100,000 yang cukup mewah dengan hamparan dan taburan kristal Swarovski. Tudung itu dipertontonkan kepada umum dalam majlis yang diadakan di Hotel St. Regis Kuala Lumpur dan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai tudung termahal pernah dihasilkan. Ia mendapat perhatian warganet yang rata-rata kagum dengan keindahan tudung berkenaan, namun ada juga yang memberi kritikan termasuk menganggap ia sebagai perkara yang berlebihan jika membelinya.

Tidak kurang juga secara sinikal mempertikaikan sekiranya seorang wanita memakai tudung berharga RM100,000 apakah akan kalis daripada dosa. Menjelaskan mengenai situasi sebenar, pengasasnya, Haliza Maysuri berkata, tudung berkenaan bukanlah dihasilkan untuk tujuan dijual sebaliknya ia adalah hadiah daripda pihak Swarovski kepada Bawal Exclusive bersempena pembukaan Private Lounge Bawal Exclusive di Puchong tidak lama lagi. “Sebenarnya saya ingin memperkenalkan tudung yang dihadiahkan kepada Bawal Exclusive ini pada pelancaran butik terbaharu tidak lama lagi tetapi disebabkan pandemik Covid-19, butik tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

“Disebabkan saya terlalu teruja dengan pemberian hadiah istimewa ini, saya memilih untuk mempersembahkannya sebelum pelancaran butik Bawal Exclusive. “Saya bukan sahaja teruja tetapi saya turut menitiskan air mata kerana terlalu gembira dengan hadiah cukup bermakna ini,” katanya. Haliza memberitahu tudung itu tidak akan dijual sebaliknya ia akan dipaparkan dalam butik terbaharunya itu nanti.

Menceritakan mengenai tudung itu, ia dihadiahkan kepadanya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana telah menjadi antara pemborong terbesar sejak dahulu selain meraikan ulang tahun Swarovski yang ke-125 tahun. Kata Haliza, rekaan tudung itu adalah ideanya dan telah direalisasikan oleh pasukan rekaan Swarovski di Austria yang menggunakan lebih 7,200 kristal Swarovski. “Ia dihasilkan di atas sehelai tudung berukuran 1.14 meter x 1.14 meter dan mengambil masa 320 jam untuk disiapkan menggunakan tenaga kerja seramai 12 orang,” ceritanya. Sementara itu, Haliza berkata, hadiah itu juga adalah bukti peniaga Islam juga mampu berdiri sama tinggi dengan jenama popular lain. “Jangan takut untuk merealisasikan impian. Semuanya perlu bermula dengan langkah pertama,” katanya.

RM100,000! Bawal Exclusive Tudung Paling Mahal Di Dunia

Jenama tudung Bawal Exclusive rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Bermula dengan perniagaan tudung secara kecil-kecilan dengan membuka gerai di Jalan Tunku Abdul Rahman, kini bertukar menjadi salah satu jenama tudung premium di Malaysia. Sehingga kini, mereka mempunyai 2 buah butik di Puchong dan Kuala Lumpur serta 29 reseller yang merangkumi setiap negeri di Malaysia.

Terbaru, mengorak lagi langkah Bawal Exclusive telah mencipta sejarah dengan mempersembahkan sehelai tudung yang kini dinobatkan sebagai termahal di dunia. Bernilai RM100,000 ianya dibuka khusus sempena pembukaan Private Lounge Bawal Exclusive yang terletak di Puchong, Selangor tidak lama lagi. Untuk info, tudung ini merupakan pemberian khas oleh Swarovski kepada Bawal Exclusive sebagai tanda perhargaan dan terima kasih mereka kerana menjadi antara pemborong terbesar di dunia sejak dahulu lagi selain meraikan ulang tahun Swarovski yang ke-125 tahun.

Tudung yang direka dan diinspirasikan khusus oleh pengasas jenama Bawal Exclusive, Puan Haliza Maysuri dan Mohd Rosli Awang pastinya mencatatkan sejarah apabila diiktiraf di dalam Malaysia Book of Records sebagai tudung termahal yang pernah dihasilkan. Menceritakan kisah pembukaan tersebut, ianya bermula apabila kedua-dua mereka dijemput ke majlis makan malam oleh pihak ibu pejabat Swarovski di Wattens, Austria pada 24 Oktober 2018 sempena pembukaan Swarovski manufaktur (studio reka kreatif) baharu di sana. Kesemua wakil daripada jenama terkenal dunia hadir dan merasai sendiri kemewahan kristal Swarovski yang dipertontonkan secara eksklusif kepada mereka.

Bukan menunjuk-nunjuk tetapi tudung termahal di dunia RM70,000 sudah ditempah

Perkara tersebut dimaklumkan Pengasas BE, Haliza Maysuri, sempena Oscar’s Glamorous Night With As Galleria malam tadi sekali gus memecah rekod harga tudung termahal sebelum ini iaitu RM50,000. Haliza berkata, tudung bertahtakan swarovski yang diimport dari Austria itu sudah ditempah dan bakal menjadi milik seorang usahawan berusia 30-an dari negeri Kelantan. Kelainannya untuk tempahan kali ini, beliau berkata, wanita tersebut mahukan tudung warna biru itu dihiasi dengan kemewahan dasar laut.

Katanya, tudung corak lain dari yang lain itu ditempah menerusi butik As Galleria milik Rabiatul Hasmak Ghani di Lembah Sireh, Kota Bharu baru-baru ini. “Sebelum kami bersetuju terima tempahan. Syarikat telah merujuk kepada ibu pejabat kerana ini bukan tudung yang biasa-biasa, harganya termahal. “Kami akan gunakan kidmat pakar dari Itali yang berada di Singapura untuk hasilkan tudung demi memberi kepuasan kepada pemiliknya,” katanya pada sidang akhbar malam tadi. Majlis meraikan 300 pembeli setia terpilih dengan nilaian belian minimum RM5,000 sehingga RM100,000 setahun itu turut dihadiri Pengarah Urusan Swarovski Asia Tenggara dan New Zealand, Sebastian Cox.

Katanya, selain menggunakan swarovski tulen, tudung berkenaan menjadi mahal kerana setiap satu permata itu disusun menggunakan tangan satu persatu dan bukannya dihasilkan oleh mesin. Baru-baru ini heboh berikutan tudung bawal hitam jenama BE bernilai RM50,000 menjadi milik seorang usahawan juga dari Pantai Timur iaitu di Pahang. Untuk rekod, wanita di Kelantan pernah membeli tudung BE berharga RM10,000 sehelai, RM21,600 dan pada tahun lepas pula bernilai RM33,000 sehelai.

Kegilaan terhadap tudung BE tidak dapat dinafikan lagi memandangkan seseorang itu sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit untuk sehelai tudung. Mengulas lanjut Haliza berkata, pihaknya tidak menjadikan perkongsian mengenai tudung yang bernilai RM70,000 itu sebagai strategi melariskan jualan tetapi ia satu realiti.“Kami mempunyai bukti resit pembelian dan sebagainya. Lagipun kami bersyukur BE sudah menjadi pilihan dan dipercayai sejak 21 tahun lalu lagi,” katanya.

Katanya, bagi pemakai setia BE, mereka sudah mengetahui dan merasai kelainannya mahupun keistimewaan berhijab dengan jenama keluaran syarikatnya. “Saya pernah bertanya mengapa sanggup bayar mahal hanya untuk sehelai tudung satu meter ini. “Jawapannya semua adalah demi kepuasan diri sendiri dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk. Lagipun pembelinya tidak mahu dikenali. “Individu itu juga memberitahu, jika harga kasut keluaran negara luar berharga belasan ribu ringgit boleh dibeli inikan pula tudung yang boleh menutup aurat dan dibuat oleh usahawan tempatan,” katanya.