Keluargapun sudah kenal antara keduanya. Akhirnya Adam Lee buka mulut tentang hubungannya dengan Sweet Qismina yang sekian lama bercinta dan ini kisah perjalanan cinta mereka.

Kepada mereka yang mengikuti media sosial terutamanya Instagram pasti tahu tentang kisah percintaan antara pelakon kacak Adam Lee dan pelakon jelita Sweet Qismina yang sudah masuk dua tahun. Sebelum ini, keakraban pasangan pelakon ini mula dihidu selepas melihat kekerapan Adam Lee dan Sweet Qismina berkongsi gambar bersama di akaun Instagram masing-masing selepas berganding sebagai teraju utama drama bersiri Adam Chempaka.

Buat beberapa ketika, mereka membiarkan peminat dengan pelbagai andaian dan terus berteka-teki status sebenar hubungan mereka. Namun, Adam mengakui mereka pasangan kekasih. Adam berkata, dia sedar ada sesetengah pengikut di Instagram yang bertanya mengenai perkara itu, namun baginya, tidak perlu untuk dijelaskan secara terperinci kerana semua orang pasti dapat ‘membaca’ hanya menerusi gambar.

Memasuki usia matang 26 tahun hari ini, pelakon yang mula dikenali ramai melalui Dendam Aurora sudah mula melangkah ke alaf baru dan menepati ramalan ramai yang dia bakal cemerlang di kaca TV dan menjadi pilihan sebagai pelakon utama. “Masih mengejar cita-cita kerana Adam belum puas lagi melakonkan watak-watak yang Adam inginkan. “Ada banyak lagi perancangan yang Adam susun untuk mencapai impian,” katanya ketika dihubungi Gempak. Bercerita tentang kisah cintanya dengan pelakon Sweet Qismina, Adam memberitahu semuanya berlaku tanpa dirancang. “Kami mula-mula bertemu ketika berlakon drama Adam Cempaka. Adam jadi hero dan Sweet jadi heroin.

“Ketika penggambaran tersebut kami sebenarnya tidak bertegur sapa sangat dan memang tidak ada perasaan apa-apa ketika itu. “Kami mula rapat apabila Sweet ajak Adam ke malam Anugerah Bintang Popular sama-sama. Daripada situ kami mula berkawan, tetapi tidak ada niatpun untuk bercinta,” kata Adam lagi. Menurut Adam, satu perkara yang cukup istimewa adalah sifat Sweet yang suka berkeluarga.

“Sweet ni a family person. Adam pula seperti ramai pelakon  lelaki lain lebih senang bergerak sendiri dan lakukan semua perkara berkaitan lakonan secara sendiri. “Dia banyak ajar Adam dan kami macam satu kepala. Tentulah masa tu masing-masing sudah ada hati. Kalau tak, takkanlah sampai sekarang kami masih lagi bersama,” kata Adam sambil ketawa kecil. Ditanya mengenai masa depan terutamanya berumah tangga, Adam tangkas menjawap tentang perancangan mereka berdua.

“Masing-masing masih ada impian yang belum dicapai, masih menyusun perancangan masa hadapan. Tapi mungkin dalam perjalanan mengejar cita-cita masing-masing, kami akan halalkan hubungan kami. “Keluargapun sudah kenal antara keduanya. Malah, ibu Sweet yang Adam panggil Mama juga turut menjadi pengurus kepada kami berdua dan dia juga sudah tahu niat ikhlas Adam untuk menghalalkan hubungan kami berdua.

“Bila tiba saatnya nanti, Adam fikir Adam tak akan bertunang lama. Mungkin lebih baik bertunang pada hari yang sama dengan bernikah,” kata Adam lagi. Adam yang sedang di antara babak penggambaran ketika dihubungi Gempak memberitahu apapun perancangan mereka, perkahwinan bukanlah dalam masa yang terdekat ini memandangkan usia mereka yang masih muda.

Sumber: Gempak