Mata kanannya menjadi kabur serta sukar mengawal keseimbangan badan ketika mengambil barang luah Radhi OAG buat warganet khuatir akan keadaannya. Dia nekad kumpul sejumlah wang bagi jalani operasi buat ramai doakan kesejahteraan dirinya

Lama rasanya tak dengar cerita tentang penyanyi kumpulan OAG, Radhi. Baru-baru ini, Radhi memaklumkan mata kanannya berdepan masalah penglihatan akibat katarak. Menurut Radhi, dia mula perasan mata kanannya tidak dapat berfungsi dengan baik sekitar Mac lalu. Ujarnya lagi, dia kini sedang berusaha mengumpul wang untuk kos operasi dianggarkan sebanyak RM3,000. “Tiba-tiba penglihatan mata kanan saya jadi gelap dan kabur. Saya juga tidak dapat mengawal keseimbangan badan ketika berdiri dan memegang barang.

“Jadi saya dapatkan rawatan di hospital dan doktor memberitahu saya mengalami masalah katarak selain perlu menjalani operasi. “Dianggarkan kos operasi itu sebanyak RM3,000. Jadi sekarang saya sedang usaha mengumpul wang secepat mungkin kerana bimbang masalah lain timbul,” katanya kepada Harian Metro. Menganggap apa yang berlaku adalah satu petunjuk daripada Allah supaya dia menjadi insan yang lebih baik, Radhi memohon kepada para peminatnya untuk mendoakan keadaan matanya kembali pulih dan mahu menjalani kehidupan yang diredai.

“Saya anggap sakit ini satu hadiah daripada Allah. Mungkin Dia nak beritahu saya, kalau masih teruskan kehidupan begitu (masa lampau), masa depan saya boleh gelap. “Doakan semoga mata kanan saya kembali normal supaya saya dapat menikmati kehidupan dengan jalan yang baik dan diredai,” katanya.-Rotikaya

Sertai jemaah tabligh ‘ubat’ jiwa Radhi OAG lepas berpisah

Mengaku sukar untuk berdepan dengan perpisahan dan pada masa sama berdepan isu ketagihan bahan terlarang, vokalis kumpulan OAG, Radhi, mencari kekuatan diri. Antaranya dengan menyertai kegiatan kumpulan tabligh. Kata Radhi, beberapa orang kenalannya yang membabitkan diri dalam jemaah tabligh pernah tampil membantu selepas dia melalui proses perpisahan kedua dengan bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri, pada Julai tahun lalu.

“Masa berpisah tu boleh diibaratkan Allah hantar bantuan yang dikehendaki-Nya kepada saya. Ni semua urusan Allah. Kami pergi jalankan aktiviti tabligh ke Pulau , Johor,” katanya. Menurut pemilik nama penuh Muhammad Radhi Razali itu, pada ketika ini, fokus utamanya ialah memastikan dia kuat untuk berdepan sebarang cabaran. Justeru dia akan cuba menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti pada waktu terluang.

“Siapa tak sedih kalau berpisah. Saya hanya manusia biasa, pernah juga mengalami tekanan akibat perpisahan tersebut. “Namun, saya mahu 2020 ni menjadi tahun untuk saya berdakwah dan aktif bermain muzik semula,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaru OAG, berjudul ORI di Petaling Jaya, semalam. Radhi berkahwin dengan Ayu pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Teringin bawa ke rumah sewa. Sebelum itu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Jan 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan pertama itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim, 14. Berkongsi harapannya mengenai dua anak-anaknya yang masih kecil, Radhi berkata, dia teringin untuk bertemu dan menjaga mereka seperti sebelum ini.

“Bayangkan, hari-hari tidur dengan anak-anak, tiba-tiba mereka… Saya rindu mereka. Dah lama tak berjumpa. “Memang teringin nak bawa balik ke rumah sewa terbaru dan luangkan masa bersama-sama,” katanya. Sementara itu, mengulas mengenai ORI, Radhi, berkata, ia dihasilkan untuk memberi inspirasi kepada orang lain agar sentiasa bersedia menghadapi cabaran. “Memang saya buat lagu tu disebabkan perpisahan yang berlaku. Walaupun pelbagai halangan yang menimpa di depan, anda haruslah menjadi diri sendiri, ORI,” katanya. Radhi merancang untuk mempromosikan naskhah terbaru itu melalui sesi jelajah band berkenaan, A New Beginning Tour, yang dijadual diadakan sepanjang tahun ini dan tahun depan.-Malaysia Kini