Kes terus meningkat di seluruh dunia. Mengejutkan Pertubuhan Kesihatan Dunia beri amaran mengenai vaksin covid 19 dan kesan nasionalisme vaksin kepada seluruh negara yang menimbulkan kerisauan orang ramai.

Pemimpin Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menuntut solidariti global bagi menghadapi sebarang kemungkinan terhadap pengagihan vaksin COVID-19 ketika peningkatan kes terus berlaku di seluruh dunia. Dalam ucapan menerusi video ketika pembukaan Sidang Kemuncak Kesihatan Dunia di Berlin, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata satu-satunya cara untuk bangkit daripada pandemik itu adalah bersatu dan bersama memastikan negara miskin memperoleh akses vaksin dengan seimbang.

“Adalah perkara biasa apabila negara mahu melindungi rakyat mereka terlebih dahulu tetapi jika dan bila kita mempunyai vaksin yang efektif, kita mesti menggunakannya secara efektif. Cara terbaik adalah untuk memberikan vaksin untuk sebilangan rakyat di seluruh dunia, berbanding semua rakyat di sebuah negara. “Saya ingin jelaskan, nasionalisme vaksin mungkin akan memanjangkan pandemik ini, bukannya memendekkan hayatnya,” katanya.

Saintis di seluruh dunia ketika ini berlumba untuk menghasilkan vaksin bagi menangani COVID-19, yang sudah mengambil nyawa lebih 1.1 juta penduduk dunia. Puluhan calon vaksin kini sedang diuji dalam ujian klinikal, dengan 10 daripadanya sudah memasuki ‘fasa ketiga’ membabitkan lebih 10,000 sukarelawan. Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat (AS), Britain, Jepun dan beberapa negara lain sudah menempah vaksin dengan syarikat yang terbabit dalam penghasilan vaksin yang paling mempunyai peluang cerah.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap negara miskin dilihat akan terbelakang bagi mendapatkan vaksin itu. WHO sebelum ini melancarkan skim antarabangsa yang dikenali sebagai COVAX yang akan membantu negara mendapatkan vaksin itu namun gagal mendapatkan dana. Sementara itu, WHO melaporkan, rekod baharu jangkitan dicatat dalam tempoh tiga hari berturut-turut di seluruh dunia dan menyeru negara-negara mengambil tindakan segera untuk mencegah penularan wabak itu. Agensi itu melaporkan sebanyak 465, 319 kes dilaporkan pada Sabtu dengan separuhnya daripadanya berlaku di Eropah. “Ini adalah saat yang bahaya untuk banyak negara di hemisfera utara selepas kes meningkat naik,” kata Tedros. – AFP

Sumber: BHONLINE