Meskipun kosong like tiap hari badut gigih iklan jualan di Facebook tak sangka dapat sumbangan


MUSIM Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini ternyata memberi kesan kepada banyak pihak yang bekerja untuk menyara kehidupan. Ini terutama mereka yang menjana pendapatan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Begitulah nasib yang terpaksa dihadapi oleh seorang lelaki yang berkhidmat sebagai badut sepenuh masa, Suwaibatun Nahar Mohd Juffri.

Enggan berputus asa dan bergelar penganggur, lelaki berusia 45 tahun itu mengambil keputusan untuk menjual makanan dari rumahnya di Simpang Renggam di Kluang, Johor. Mengakui baru berjinak-jinak dalam bisnes secara kecil-kecilan, Suwaibatun yang lebih dikenali sebagai Pak Kadut mengharapkan sokongan terhadap usahanya itu. “Saya adalah seorang peniaga yang baru belajar. Saya akan iklankan jualan hari-hari walaupun tiada yang like (tanda suka). Inilah azam saya. Sokong ya,” tulisnya di laman Facebook miliknya.

Antara yang dijual oleh Suwaibatun adalah tauhu bakar, sosej bakar dan sate ikan atau lebih dikenali sebagai lokcing ikan serta mempelam asam boi. Bapa tiga anak itu berkata, dia berniaga untuk meneruskan kelangsungan hidup bagi menyara keluarganya. “Walaupun ia tidak banyak, selagi keluarga saya gembira, ia sudah mencukupi,” kata Suwaibatun kepada The Star dipetik sebagai berkata.

Walaupun PKP, dia masih memakai topeng badut dan melakukan gimik belon ketika menjual makanan memandangkan kebanyakan pelanggannya adalah kanak-kanak. “Semasa PKP yang pertama tahun lalu, semasa melakukan pertunjukan jalanan atau di majlis tertentu, mahupun ketika saya bersiaran langsung di Facebook, saya sentiasa mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan norma baharu termasuk penjarakkan sosial, sentiasa memakai pelitup muka dan mencuci tangan mereka,” katanya yang mempunyai lebih 10,000 pengikut di Facebook turut membantu rakan-rakannya menjual produk mereka di media sosial.

Saya adalah peniaga yang baru belajar. Saya akan iklankan jualan hari-hari walaupun tiada yang like. Inilah azam saya
SUWAIBATUN NAHAR MOHD JUFFRI. Dalam pada itu, Suwaibatun berharap wabak Covid-19 segera berakhir tidak lama lagi bagi membolehkannya kembali beraksi sebagai Pak Kadut untuk menceriakan orang ramai. Posting Suwaibatun mengenai sumbangan yang diterimanya daripada seorang individu.

Menyedari kesulitan yang dihadapi oleh Suwaibatun, muncul seorang insan yang bermurah hati menyumbangkan bantuan buat dirinya sekeluarga. “Terharu Pak Kadut menerimanya. Datangnya tiba-tiba, tak tahu dari mana berborak sekejap sambil Pak Kadut membuatkan tauhu bakar buatnya. “Tak lama (kemudian) datang kembali dengan membawa sumbangan barangan kering buat Pak Kadut sekeluarga. “Semoga bos sekeluarga diberikan rezeki yang halal melimpah ruah, keimanan, kebahagiaan, kesihatan, kejayaan dunia dan akhirat,” katanya menerusi posting di Facebook tanpa mendedahkan identiti penyumbang tersebut.

Sumber: theStar