Mila Jirin kecewa ikhtihar berniaga nasi arab dikatakan kerana tak laku menyanyi

Keadaan ekonomi yang merudum, memaksa Mila tidak hanya berserah pada takdir tetapi berusaha melakukan pelbagai pekerjaan lain demi diri, keluargta dan nasib para pekerjanya.

Mila Jirin antara penyanyi dan ahli perniagaan yang terjejas ketika ini akibat pandemik COVID-19. Sebelum ini sudah beberapa kali namanya mendapat perhatian apabila lantang bersuara mengenai hak-hak ahli perniagaan yang terjejas.

Menurut Mila, idea untuk menjual nasi Arab bermula apabila dia merasai keenakan nasi tersebut di sebuah restoran milik rakan suaminya.

“Sebenarnya restoran tersebut telah memberikan saya ilham untuk memasarkan nasi Arab dalam menu Bizmilla Catering untuk Pakej Perkahwinan Bizmilla,” ceritanya. Namun, usaha kerasnya itu mengundang reaksi daripada segelintir pihak yang tidak senang hati. Dakwa pihak tersebut, perniagaan itu disebabkan penyanyi dari Pulau Pinang sudah tidak laku dalam bidang nyanyian.

Walau bagaimanapun, penyanyi Mila Jirin membalas komen kurang sopan seorang individu yang memperlekehkan dirinya hanya kerana tidak aktif dalam dunia hiburan. Tidak cepat melatah, Mila bagaimanapun membalas Direct Massage (DM) di akaun Instagramnya itu dengan cara paling berhemah. Kata Mila, usaha melakukan perniagaan tersebut merupakan ikhtiar untuk memastikan kebajikan para pekerjanya.“Kenapa ada juga manusia yang suka berkata-kata tidak baik pada sesama manusia? Apa salah saya jual Nasi Arab? Saya ikhlas berniaga kerana Allah.

“Ini ikhtiar yang kami lakukan dalam kesinambungan kami untuk memastikan para pekerja kami kekal punya pekerjaan dan gaji.“Awak yang menulis. Saya malas nak sebut nama awak di sini. Saya memang dah lama tak menyanyi bukan sebab tak laku tapi sebab Allah tak izinkan.“Fahami konsep ‘sesuatu berlaku atas keizinan Allah’ bukan atas kita manusia. Hatta awak sendiri pun tak ada kuasa nak tentukan apa jua rezeki awak hari ini,” coretnya.

Tambah Mila lagi, walaupun sudah tidak aktif dalam bidang seni namun dia percaya dengan perancangan yang sudah ditentukan Tuhan.“Saya bersyukur walaupun tak laku dalam dunia seni saya yakin perancangan Allah Maha hebat. Ada sebab musabab ianya berlaku.“Maaf saya sedikit tersentuh dengan komen awak.

Saya cuma fikir apa tujuan awak DM macam tu. Saya maafkan awak, mungkin awak naif. “Hampir setahun Allah uji kami insan-insan yang berniaga. Tapi kami tak akan pernah putus harap. Sebab kami yakin perancangan Allah Maha Hebat,” tulisnya. Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin yang merupakan juara Akademi Fantasia musim kelima ini mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak beberapa tahun ini. Mila juga memiliki empayar bisnesnya sendiri antaranya pakej perkahwinan Bizmilla, produk kesihatan dan kecantikan Bizmilla NZ Beauty, dan perniagaan pastry, Cakesmilla.my.