Gara gara dikejutkan dengan peningkatan kes positif Covid 19 hari demi hari. Mila Jirin luahkan perasaannya serta nasihat padu ini kepada orang ramai.

Peningkatan semasa pandemik Covid-19 di negara ini menimbulkan kebimbangan ramai orang apabila kes positif jangkitan itu kembali meningkat kepada 150 kes pada Ahad. Penyanyi dan usahawan Mila Jirin misalnya ada meluahkan rasa bimbang jika kes positif wabak terus meningkat. Lalu, penyanyi lagu Persis Mutiara ini turut memberi nasihat agar individu yang diwajibkan menjalani tempoh kuarantin untuk mematuhi arahan pihak kerajaan.

“Minta semuanya dikuarantin di pusat kuarantin baru benarkan pulang ke rumah. Risau ada yang DEGIL dan TIDAK IKUT ARAHAN,” tulisnya. Dalam pada itu, ibu kepada seorang cahaya mata ini turut menyarankan pihak kerajaan agar melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di seluruh negara. “Jika pihak kerajaan dapat arahkan PKPD sementara, Itu antara yang terbaik….kami rakyat sangat RISAU…..@mkn_rasmi @kkakmm_gov,” jelasnya lagi. Melihat di ruangan komen, rata-rata warganet turut bersetuju dengan pendapat yang dikongsikan bintang berusia 32 tahun itu.

Sumber: Media Hiburan

Covid-19: 150 kes baharu

Kuala Lumpur: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara mencatatkan 150 kes baharu hari ini dengan satu pemergian menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 10,818 kes setakat ini. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 150 kes baharu yang dilaporkan itu, empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan bakinya 146 kes penularan tempatan.

Beliau berkata, kes import itu membabitkan tiga individu warga negara dan seorang bukan warga negara. “Bagi 146 kes penularan tempatan, sebanyak 124 kes membabitkan warga negara manakala 22 bukan warga negara. “Kes baharu Covid-19 hari ini mendapati Sabah kekal tertinggi iaitu 124, Selangor 11 kes, Kuala Lumpur enam kes dan Pahang empat kes. “Tiga kluster baru iaitu dua di Sabah dan satu di Kuala Lumpur dikesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 50 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 9,835 kes iaitu 90.7 peratus. “Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 950 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan. “Terdapat satu pemergian baharu dilaporkan hari ini di Sabah menjadikan jumlah kumulatif pemergian adalah 134,” katanya.

Sumber: Hmetro