Naim Daniel dedah akan buat kolaborasi dengan rapper wanita ini dalm projek rahsia yang satu ini. Dia buka cerita mengenai rapper tersebut yang ramai tak tahu

Berganding dengan Bunga Isme dalam FTV Aku, Bunga, Naim anggap dirinya juga banyak belajar daripada pelakon lain. Memulakan langkah dalam industri hiburan sebagai pelakon memberikan ruang buat Naim Daniel yang juga penyanyi menimba pelbagai ilmu dalam dunia seni. Terbaharu, Naim berpeluang untuk kembali bekerjasama dengan pengarah kegemarannya, Kabir Bhatia menerusi filem TV (FTV) berjudul Aku, Bunga. Menurut penyanyi lagu Sumpah dan Sembah itu, dia menerima tawaran Kabir untuk terbabit dalam FTV ini kerana tahu akan ada sesuatu yang tidak dijangka dalam wataknya.

“Apabila dihubungi Kabir dan ditawarkan untuk berlakon dalam FTV ini, saya tak berfikir panjang dan terus terima kerana saya tahu, mesti ada ‘sesuatu’. Kali terakhir saya bekerja di bawah arahannya adalah menerusi filem Bisik Pada Langit pada 2017,” katanya. Bergandingan dengan penyanyi rap yang kini bergelar pelakon, Bunga Isme, Naim yang membawa watak sebagai Kahoe tidak pernah melabelkan dirinya sebagai pelakon senior berbanding Bunga. “Saya bukan senior atau apa kerana saya sendiri banyak belajar daripada orang lain. Semua pelakon bekerja keras untuk menjayakan FTV ini.

“Saya memang sudah mengenali Bunga sejak program 16 Baris. Dia banyak bertanya dan saya kongsikan apa yang saya tahu mengenai perkembangan watak dan sebagainya,” katanya. Bercerita mengenai karya baharu ini, Aku, Bunga mengangkat kisah mengenai anak muda yang memperjuangkan hidupnya dan juga muzik hip hop. “Berbeza berbanding karya yang saya pernah lakonkan sebelum ini, Aku, Bunga mengetengahkan jalan cerita mengenai anak muda yang punya minat dalam muzik hip hop serta rap. “Jadi, cara pembawakan watak juga berbeza buat saya dan itulah yang saya anggap ‘sesuatu’ daripada air tangan Kabir,” katanya. Terbaru, Naim juga sedang mempromosikan singlenya, Sembah yang kini mula meraih perhatian ramai pendengar.-My Metro

Bunga Isme nak kerjasama dengan Yuna

Penyanyi rap, Bunga Isme, 20, yang pernah meraih perhatian apabila video nyanyian rap dengan imej berbaju kurung dan bertudung dikongsi portal antarabangsa New York Times dan Bloomberg tahun lalu menyimpan impian untuk bekerjasama dengan Yuna yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat. Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari berkata, dia pernah menerima ucapan tahniah daripada Yuna ketika nama dan video persembahannya dikongsikan portal berita antarabangsa itu.

“Tahun lalu, selepas nama saya disebut dalam artikel dan video persembahan saya dikongsikan dua portal antarabangsa itu, Yuna ada mengucapkan tahniah kepada saya.”Dia juga mengikuti akaun Instagram saya dan sejujurnya, saya ada menyimpan impian untuk bekerjasama dengannya,” katanya.

Menurut Bunga, dia menantikan masa yang sesuai untuk meluahkan hasratnya itu. “Sekarang saya baru mula nak menapak dan perjalanan saya masih jauh lagi. Tapi, apabila tiba masanya, saya akan luahkan hasrat saya kepadanya dan ajak dia untuk bekerjasama,” katanya. Terbaru, Bunga membintangi filem TV (FTV) arahan Kabir Bhatia berjudul Aku, Bunga di samping Naim Daniel, Ben Amir dan Aman Graseka.-Harian METRO

Kekal identiti gadis Melayu, penyanyi rap Bunga tak akan tanggal baju kurung!

Penyanyi rap, Bunga Isme berkata dia akan mengekalkan identiti berbaju kurung ketika mengadakan persembahan nyanyian. Menurut Bunga atau nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari Jalaini, 19, dia selesa mengenakan baju tradisional itu dan tidak akan sesekali menukar imej tersebut. “Saya memang akan pakai baju kurung ketika membuat persembahan kerana ini adalah identiti saya sebagai seorang penyanyi. “Malah, saya rasa lebih yakin berpakaian tradisional dan rasanya tak ada lagi penyanyi perempuan mengenakan pakaian tradisional semasa menyampaikan lagu rap.

“Tak sangka ramai yang memuji penampilan saya ini dan ada yang terkejut apabila melihat seorang gadis berhijab mampu menyanyikan lagu hip hop,” katanya ketika ditemui mStar Online. Sebelum ini, video nyanyian Bunga bersama 16 Baris yang dimuat naik di Youtube menarik perhatian pelayar dan trending di laman tersebut. Antara topik perbualan penonton ialah mengenai pakaian yang digayakan oleh Bunga yang dikatakan mengangkat identiti gadis Melayu, selain kemampuannya menyanyi lagu rap dengan baik. Meskipun menerima pujian ramai penonton, Bunga turut tidak terlepas daripada kritikan warganet yang ternyata kurang senang dengan imej digayakan. Bunga terima komen penonton dengan hati terbuka.

Bagaimanapun, penuntut tahun satu di sebuah universiti awam di Negeri Sembilan ini menjadikan kritikan itu sebagai panduan dalam mengejar cita-cita. “Biasalah, kalau ada yang puji mesti ada juga yang mengkritik. Ada yang kata tak sesuai perempuan pakai baju kurung menyanyi rap. “Malah ada juga yang mengkritik cara nyanyian saya, tapi saya terima sahaja komen mereka itu kerana ia membuatkan saya lebih bersemangat memperbaiki nyanyian. “Soal pakaian pula, bagi saya ini adalah baju tradisional kita, kalau bukan kita yang kekalkan budaya ini siapa lagi? Jadi saya tak terlalu ambil pusing mengenai kritikan kerana ramai lagi menyokong imej yang saya bawa ini,” ujarnya