Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan tampil untuk mengagihkan 1500 bakul makanan untuk penduduk Rasau

Gambar sekadar hiasan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan mengagihkan bakul makanan bagi membantu penduduk di mukim Rasau, Dungun, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berkuat kuasa esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata 1,500 bakul makanan akan diagihkan kepada Ketua Isi Keluarga (KIK) yang tinggal di mukim Rasau.

Katanya, kerajaan negeri sudah melakukan tindakan awal apabila mula mengagihkan bakul makanan kepada penduduk di mukim Rasau secara berperingkat sejak Ahad lalu.

“Pengagihan bakul makanan kepada penduduk di beberapa kampung di mukim itu sudah dilakukan selepas kerajaan menerima laporan mengenai berlakunya peningkatan kes positif COVID-19, awal minggu lalu.

“Perbincangan kaedah pengagihan bakul makanan kepada penduduk dengan beberapa agensi kerajaan termasuk wakil rakyat di kawasan itu sedang dilakukan, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mukim Rasau di Dungun, Terengganu, antara tiga mukim yang akan dikuat kuasakan PKPB, berkuat kuasa esok hingga 20 November ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai menambah, mukim Rasau terpaksa diumumkan PKPB selepas berlakunya peningkatan kes COVID-19.

“Kita dimaklumkan, jumlah keseluruhan kes aktif di mukim Rasau, Dungun, sebanyak 26 kes menyebabkan kerajaan mengumumkan PKPB membabitkan penduduk seramai 43,687 orang,” katanya.

Semua penduduk di mukim Rasau, Dungun, diminta sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).