Rakyat mengharapkan sesuatu untuk meringankan kesusahan rakyat. Menteri Kewangan tampil beri penjelasan tentang isu tersebut

Setakat ini, kerajaan telah memperkenalkan empat “belanjawan mini” berjumlah RM 305 bilion untuk menyediakan bantuan serta-merta bagi meringankan kesusahan rakyat Malaysia. Hari yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia sudah tiba apabila Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada Jumaat petang.

Merupakan belanjawan sulung oleh Kerajaan Perikatan Nasional, ia juga mungkin menjadi yang paling penting dalam sejarah di negara kita memandangkan seluruh dunia kini sedang dilanda pandemik Covid-19 sehingga menimbulkan gangguan besar dalam kehidupan dan mata pencarian segenap rakyat. Usaha mewujudkan pekerjaan dan melindungi petugas barisan hadapan dijangka menjadi tumpuan utama dalam belanjawan kali ini.

Wujud harapan yang besar terhadap langkah-langkah komprehensif dalam belanjawan itu yang dijadualkan akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang sebelum ini merupakan ahli perbankan bagi memastikan ekonomi negara kekal di landasan menuju pemulihan daripada pandemik itu dan merekodkan pertumbuhan kukuh.

Setakat ini, kerajaan telah memperkenalkan empat “belanjawan mini” berjumlah RM305 bilion untuk menyediakan bantuan serta-merta bagi meringankan kesusahan rakyat Malaysia, khususnya mereka yang terjejas ketika perang global yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi menentang Covid-19. Ia terdiri daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KITA PRIHATIN.

Pakar ekonomi yakin kerajaan akan memberi kelonggaran dan menuju ke arah belanjawan perkembangan pada tahun depan, sejajar dengan inisiatif dan program pada masa akan datang untuk menghidupkan semula ekonomi domestik dan merancakkannya kembali.

Mereka turut yakin belanjawan kali ini akan membuka laluan baharu dari segi jumlah yang sanggup dibelanjakan kerajaan untuk memulakan ekonomi.

Selain memulihkan industri tempatan agar kembali kukuh, pakar juga menjangkakan kerajaan memainkan peranan lebih penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada pencari pekerjaan dengan sokongan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

Malah, kerajaan juga diharap menyediakan lebih banyak inisiatif jaring keselamatan sosial untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik dan kesan ekonominya.

Kalangan pakar turut yakin bahawa belanjawan itu akan selari dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) khususnya bagi menangani isu-isu jangka pendek dan sederhana, di samping memberi tumpuan menghidupkan semula ekonomi di bawah fasa kelima Strategi Pemulihan Ekonomi 6R oleh kerajaan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mereka yakin pelbagai inisiatif akan diumumkan esok untuk membantu mengekalkan keyakinan pelabur dan pengguna di samping membantu perusahaan kecil dan sederhana untuk menangani cabaran ekonomi serta memperkasa ekonomi digital dan gig.

Syarikat-syarikat yang terlibat dalam sektor logistik serta minyak dan gas mengharapkan insentif cukai untuk menggalakkan pendigitalan, automasi dan pelaburan hijau, manakala sektor penerbangan mencari tempat bergantung demi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Pakar-pakar ekonomi menjangkakan sektor penjagaan kesihatan menjadi penerima manfaat terbesar dalam Belanjawan 2021, yang mana lebih banyak pembiayaan akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan dan kementerian lain untuk membantu negara memerangi Covid-19..

Pembiayaan tambahan juga mungkin akan diketepikan bagi membolehkan negara serta agensinya lebih bersedia menangani ancaman-ancaman “yang tidak terjangka” pada masa depan. Sementara itu, pihak korporat pula berminat untuk mengetahui nasib enam projek mega bernilai RM143.06 bilion yang diumumkan semasa belanjawan tahun lepas tetapi dilanda kelewatan dan gangguan projek akibat pandemik Covid-19. serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakar ekonomi memberitahu media, mereka menjangkakan kerajaan akan meneruskan pembangunan projek infrastruktur utama kerana usaha pemulihan ekonomi setempat akan terjejas sekiranya tidak berbuat demikian.

Projek-projek tersebut termasuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), yang dijangka melibatkan perbelanjaan berjumlah RM68 bilion, Laluan Transit Aliran Massa 3 atau MRT3 (RM45 bilion), Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (RM18 bilion), Pintasan Kereta Api Serendah-Pelabuhan Klang (RM8.3 bilion), Sistem Transit Aliran Johor Bharu-Singapura (RTS) (RM3.16 bilion) dan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo (RM600 juta).

Belanjawan 2021 akan menjadi tumpuan utama esok. Persoalannya, berapakah peruntukan yang mampu disediakan oleh kerajaan bagi memenuhi agenda satu tahunnya? Dalam mengejar pemulihan jangka panjang yang baik, peruntukan Belanjawan 2021 dijangka lebih tinggi daripada Belanjawan 2020.

Sebanyak RM297 bilion atau 18.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan bagi Belanjawan 2020, yang mana 81.1 peratus atau RM241 bilion adalah untuk perbelanjaan operasi manakala baki RM56 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan.

Firma-firma penyelidikan menjangkakan Belanjawan 2021 akan menjadi belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi, pelepasan dan pengecualian cukai terpilih termasuk insentif yang disasarkan untuk menyokong permintaan domestik swasta.

Mereka menjangkakan Kementerian Kewangan akan menentukan sasaran pengembangan defisit belanjawan yang dianggarkan antara 5.5 dan 6.0 peratus daripada KDNK pada 2021, berbanding 6.5 peratus pada 2020, sejajar dengan keperluan penyatuan fizikal.