Ramai yang masih mempersoalkan samada wanita yang berpurdah perlukah untuk memakai pelitup muka walaupon sudah menutup separuh muka dengan kain tersebut. Akhirnya ini yang dibongkarkan Dr Nurul Yaqeen mengenai perkara itu.

Baru-baru ini menjadi sebutan di bibir-bibir orang ramai mengenai wanita berpurdah dan berniqab. Tidak kurang hebatnya ada yang mengambil inisiatif menambah ilmu mengenai perbezaan pemakaiannya termasuklah pemakaian burqa. Namun demikian, wanita yang berpurdah serta berniqab dinasihatkan tetap memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi laman Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 22 Oktober 2020 lalu. Menerusi ciapan itu juga, KKM menjelaskan bahawa pemakaian purdah satu lapisan tidak mencukupi untuk melindungi individu terbabit daripada dijangkiti. Justeru, KKM mencadangkan individu memakai purdah atau niqab untuk memakai pelitup muka perubatan atau fabrik tiga lapisan di sebalik purdah yang dipakai.

Mengulas lanjut mengenai isu, Pakar Perunding Perubatan & Paru-paru, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Kuala Lumpur, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa ada hujahnya. Katanya, wanita berpurdah masih perlu memakai pelitup muka, kerana purdah tidak menepati syarat-syarat keselamatan yang boleh menghalang penularan wabak Covid-19 seperti yang dikehendaki oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Seperti yang kita semua maklum, purdah diperbuat daripada selapis kain sahaja dan ia juga tidak betul-betul menutup bahagian hidung, mulut dan dagu yang mana masih ada ruang yang terbuka di bahagian bawah dagu pemakai purdah. “Jadi, masih terdapat ruang untuk kemasukan atau transmisi virus melalui bahagian bawah dagu purdah tersebut,” jelasnya. Pelitup muka yang menepati syarat-syarat keselamatan bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19 perlulah mempunyai tiga lapisan seperti yang disyorkan oleh WHO iaitu ia perlulah mempunyai tiga lapisan:

1. ‘Inner layer’ (lapisan dalam yang bersentuhan terus dengan kulit) yang diperbuat dari ‘hydrophilic’ material (bahan yang mudah menyerap air). Contohnya: ‘cotton’ atau ‘cotton blends’. 2. ‘Middle layer’ (lapisan tengah yang bertugas sebagai filter atau penapis) yang diperbuat daripada ‘hydrophobic material’ (bahan yang tidak menyerap air) seperti ‘polypropylene’ atau ‘cotton’ yang boleh membantu penyerapan rembesan air. 3. ‘Outer layer’ (lapisan luar yang bertugas sebagai penghalang kemasukan pencemaran/bendasing luar) yang diperbuat dari ‘hydrophobic’ material (bahan yang tidak menyerap air). Contohnya: polypropylene dan polyester yang boleh menghalang kemasukan virus, kuman dan bendasing dari memasuki mulut dan hidung.

Menjawab kepada satu soalan lain, Dr Nurul Yaqeen menjelaskan cara untuk mereka memakai pelitup muka adalah dengan mematuhi panduan yang ditetapkan oleh WHO. Ini panduan mudahnya: 1. Mereka perlu membasuh tangan sebelum memakai pelitup muka dan mengenakannya dengan betul-betul menutup bahagian hidung, mulut dan dagu dengan baik. 2. Mereka masih boleh memakai purdah di atas pelitup muka tersebut, setelah mengenakan pelitup muka yang mempunyai tiga lapisaan fabrik tersebut. “Pastikan mereka sentiasa mencuci pelitup muka fabrik dan juga purdah yang telah digunakan. “Sekiranya pelitup muka fabrik dan purdah telah kotor, maka mereka perlu mencucinya dahulu sebelum menggunakannya,” kata Dr Nurul Yaqeen.- SINARPLUS