Ramai yang sudah bercadang untuk bercuti setelah tamatnya pandemik covid 19 ini. Kini ada 5 senarai hotel yang mempunyai penginapan unik dan sangat luar biasa.

Treehotel yang terletak di Sweden dibina menggunakan cermin yang memantulkan pemandangan semula jadi di kawasan sekitarnya. Jika pergi bercuti, tempahan hotel adalah antara perkara penting untuk dilakukan dan kebiasaannya kita akan mencari tempat penginapan yang berpatutan serta selesa. Tapi bagi yang sukakan cabaran dan kelainan, biasanya golongan ini akan mencari hotel yang unik agar dapat mencipta kenangan indah dan pengalaman berbeza ketika mengembara ke tempat asing. Sebenarnya terdapat pelbagai jenis hotel yang ditawarkan di seluruh dunia bagi memenuhi citarasa dan kehendak pengunjung. Terdapat lima hotel di dunia yang cukup menarik dan berbeza. Mana tahu suatu hari nanti, kita akan sampai ke sana.

1. Hotel Marques De Riscal, Sepanyol

Sejak dibuka kepada umum pada 2006, hotel rekaan Frank Gehry ini telah menjadi destinasi percutian mewah pelancong dari seluruh dunia. Reka bentuknya serta pemandangan semula jadi membuatkan penginapan di hotel yang terletak di Elciego ini memori tidak dapat dilupakan. Rekaan dalamannya cukup mengagumkan selain dindingnya yang direka mengiring lengkap dengan tingkap zig zag serta siling yang tinggi membuatkan hotel ini unik dan berbeza.

2. Pulau Conrad Rangali, Maldives

Pulau Conrad Rangali, Maldives sentiasa mengalu-alukan kedatangan tetamu untuk menikmati pengalaman luar biasa menginap di hotel bawah laut pertama di dunia, dikenali sebagai Muraka. Vila mewah itu adalah bukti kejayaan kejuruteraan dan seni bina moden – terletak lebih daripada 16 kaki di bawah permukaan laut di tengah lautan Hindi. Dinding vila itu diperbuat daripada kaca, memberikan pengalaman seolah-olah anda berada di dalam akuarium.

3. Resort Sun Cruise, Korea Selatan

Terletak di tebing pantai Jeongdongjin, destinasi pelancongan ini terkenal dengan pemandangan matahari terbit dan dikenali sebagai salah satu destinasi terkenal di negara Kpop itu. Hotel itu adalah sebuah kapal pelayaran yang dibina di pinggir tebing memberikan pengunjung pemandangan terus ke lautan yang indah. Resort itu menyediakan 211 bilik, lengkap dengan restoran makanan tempatan dan barat, kelab malam, pusat karaoke dan kolam renang.

4. Treehotel, Sweden

Bagi yang sukakan keindahan alam namun masih ingin merasai menginap di hotel mewah, Treehotel adalah jawapannya. Menariknya mengenai hotel ini, kesemua bilik dibina di atas pokok dengan ketinggian di antara empat hingga enam kaki. Ia membolehkan pengunjung menikmati pemandangan lembah sungai Luke sambil mendengar desiran bunyi alam semula jadi ketika bangun pada waktu pagi. The Mirrorcube adalah bilik paling menarik di hotel ini, di mana dinding bilik dibuat menggunakan cermin yang memantulkan pemandangan di sekitarnya. Pembinaan hotel itu adalah inspirasi daripada sebuah filem berjudul The Tree Lover arahan Selberg Augusteen.

5. Giraffe Manor, Kenya

Hotel butik eksklusif, Giraffe Manor terletak di salah sebuah bangunan paling ikonik di Nairobi yang mengingatkan kepada era 1930-an. Reka bentuknya bukan sahaja elegan, namun pemandangan sekitar yang hijau membuatkan pengunjung berada dalam salah sebuah set filem tentang kehidupan safari. Paling menarik, di salah sebuah restoran hotel itu, ketika menjamu selera, pengunjung akan didatangi zirafah yang menghulurkan tenguk mereka di tingkap bagi meminta makanan