Rata rata warganet sedih dengan kisah menyayat hati tentang seorang pakcik yang sudah berumur setelah gadis ini berkongsikan pengalaman yang terjadi kepadanya di Twitter. Rupa rupanya ini yang terjadi kepada seorang warga emas itu.

Gadis muda berhati mulia, Nafisya Nabila Saifol Razal berkongsi kisah bertemu dengan seorang warga emas yang memerlukan pertolongan pada lewat malam. Ketika dihubungi Gempak, Nafisya menyatakan lelaki yang dikenali dengan nama Pak Aid itu meminta bantuannya untuk menghantar pulang ke rumah yang terletak di Sungai Siput dari Ipoh, Perak.

“Dalam pukul 10 malam saya pergi Terminal Amanjaya nak jemput kawan. Masa kawan nak masuk dalam kereta tu, ada seorang pakcik tegur kat tingkap, mintak tolong hantar balik. “Kami pun ragu-ragu sebab masa tu dah lewat malam. Saya tak sangka rumah dia keluar daripada kawasan Ipoh. Kami hantar juga sebab fikir dah malam memang tak ada pengangkutan lain untuk balik.

“Lagipun cara pakcik tu mintak izin pun baik, katanya sebagai umat Islam sudi tak tolong hantar dia. Lebih kurang dalam 45 minit juga perjalanan sebelum sampai. “Saya tak pasti tujuan dia datang ke Ipoh tapi pakcik cakap ada orang janji nak bawa dia pergi Karai tetapi ditinggalkan di situ. Jadi dia tak boleh nak balik kampung semula sebab tak ada duit,” katanya.

Tambah Nafisya, 21, lelaki yang berusia 65 tahun itu tidak ada meminta bantuan wang ringgit daripadanya.  Namun, dia meminta izin untuk menyanyi lagu nasyid ketika dalam perjalanan yang turut ditemani dua rakan lain. “Waktu jumpa pakcik tu, dia memang ada bawa plastik yang diisi makanan. Dari mana dia dapat itu saya tak pasti. “Sepanjang perjalanan memang tak ada minta duit pun. Tak sebut langsung. Pakcik cuma mintak izin nak nyanyi lagu nasyid.

“Daripada percakapan saya rasa pakcik itu masih waras, sebab ingat jalan balik rumah dan bila bersembang memang banyak topik yang keluar. “Cuma pendengaran pakcik tak jelas jadi saya kena cakap kuat sikit,” katanya lagi. Kisah pakcik ini mendapat hampir 25,000 kicauan (retweet) dan 17,000 tanda suka (likes) selepas dikongsikan di Twitter. Lebih menyayatkan hati warganet adalah nasib pakcik yang tinggal bersendirian di kawasan yang dikelilingi dengan hutan.

SUMBER: GEMPAK