Salah satu asbab terbesar kadang-kadang kita malas nak bercucuk tanam kerana serangga yang suka rosakkan tanaman kita. Ini 7 Manfaat Cuka Kayu Untuk Tanaman

Cuka kayu atau wood vinegar adalah cairan organik yang merupakan produk sampingan yang terhasil dari proses kondensasi pembakaran kayu (tanpa udara) dalam penghasilan arang. Ia boleh didapati dalam warna kuning kecoklatan atau coklat kehitaman.Kajian ke atas cuka kayu ini telah mengambil tempat sejak tahun 1950an lagi, Haa! dah lama kan. Para petani di kebanyakan negara seperti Jepun, Taiwan, Thailand dan Korea menggunakan cuka kayu secara meluas kerana kelebihannya sebagai bahan kimia tani organik. Jadi, mari kita lihat kegunaan cuka kayu untuk kesuburan tanaman.

Pertama, menggalakkan percambahan benih dengan cepat. Kita boleh guna cuka kayu untuk meningkatkan hasil tanaman kita kerana ia dapat menggalakkan percambahan benih dengan lebih cepat. Kajian mendapati penghasilan cuka dari pembakaran buluh merangsang percambahan benih tanaman. Jadi, kalau benih yang kita semai susah betul nak bercambah, bolehlah cuba semburkan tanaman dengan sedikit cuka kayu pula.

Kedua, menggalakkan tumbesaran anak pokok. Bukan itu saja, cuka kayu mampu menggalakkan tumbesaran anak pokok. Biasanya, untuk fungsi ini, kita boleh pilih cuka kayu yang terhasil dari sumber tumbuhan berkayu seperti pokok oak, kayu getah, walnut atau kayu bakau. Kajian mendapati pokok yang disembur dengan cuka kayu membesar 2 kali ganda lebih subur dari yang tidak disembur cuka ini.

Ketiga, membantu penyerapan nutrisi baja dengan lebih baik. Bagi sesiapa yang suka menanam, pasti kita tahu fungsi utama baja adalah sebagai ‘pembekal makanan’ secara terus kepada tanaman. Dalam hal ini, cuka kayu berpotensi mengurangkan penggunaan kadar baja dan racun sintetik sehingga 50% kerana sifat organiknya yang boleh membantu dalam penyerapan nutrisi baja dengan lebih baik jika diberi dengan kadar yang secukupnya. Haaa, jadi, kita pun takdelah perlukan banyak sangat baja macam sebelum-sebelum ni.

Keempat, racun serangga yang selamat untuk tanaman. Pokok tu dah hidup sihat, tiba-tiba serangga datang bawa bala tenteranya seperti kulat, bakteria atau nematode (cacing gelang parasit). Dalam hal ini, cuka kayu berfungsi menghasilkan microbes, iaitu sejenis organisma yang memakan serangga perosak. Jadi, tak hairanlah kalau para petani suka menggunakan cuka kayu ini sebagai racun serangga yang selamat untuk tanaman.

Kelima, menjadikan daun lebih sihat. Dulu kita belajar fungsi pokok salah satunya adalah untuk menghasilkan oksigen melalui proses fotosintesis kan? Jangan tak tahu, cuka kayu ini dapat meningkatkan kandungan klorofil dalam daun, iaitu salah satu elemen dalam proses fotosintesis. Jangan terkejut, cuka kayu juga dapat menghasilkan warna daun yang berkilat serta memudahkan sintesis gula dan asid amino dalam tumbuhan. Jadi, tumbuhan pun boleh tumbuh dengan segar dengan daun-daun yang sihat.

Keenam, memperelok struktur tanah. Siapa sangka, antara kebaikan cuka kayu juga adalah ia dapat bantu menyuburkan tanah dengan meningkatkan aktiviti microbial dalam tanah. Ini kerana cuka ini dapat memberikan khasiat pada microbes yang baik. Ia juga memperelok struktur fizikal tanah kita. Di beberapa buah negara seperti Brazil, cuka ini digunakan secara meluas ke atas tumbuhan yang mempunyai masalah ketidaksuburan atas sebab kekurangan nitrogen dan fosforus. Selain itu, cuka kayu boleh membantu pertumbuhan dan menguatkan akar pokok.

ketuju, menggalakkan penghasilan buah dan sayur yang berkualiti. Untuk pengusaha dusun buah-buahan dan sayur-sayuran, cuka kayu boleh menggalakkan penghasilan sayur dan buah berkualiti tinggi. Bukan itu saja, kuantiti hasil tanaman juga boleh bertambah sebanyak 2x ganda berbanding tumbuhan yang tidak diberi cuka kayu. Kajian yang dijalankan di sebuah dusun di Thailand kini menjadi rujukan kepada banyak para petani. Kalau rasa macam susah betul buah nak tumbuh, cubalah semburkan sedikit larutan cuka kayu ke atas pokok. Selain itu juga, cuka ini berkebolehan membantu menukarkan bahan mentah menjadi kompos organik disamping mengurangkan bau-bauan yang tidak enak terhasil dari kompos tersebut.

Sumber: Puan Liyana Mohd Poad