Sekian lama menyepi dari industri tanah air kini Noorkumalasari tampil dedahkan perkembangan terkini Anita Sarawak dalam satu rancangan. Ini yang dikongsikannya.

Bintang senior, Noorkumalasari telah diundang menjadi tetamu jemputan untuk program bual bicara, Next To Neelofa pada Khamis lalu di saluran Astro Ria. Menerusi program yang dihoskan oleh pengacara, Neelofa itu, aktres terkenal sekitar era tahun 80-an ini ada berkongsi kisah hidupnya bersama penonton. Dalam pada itu, Noorkumalasari ada memberitahu kakaknya kini berada dalam keadaan baik dan sihat apabila ditanya Neelofa mengenai perkembangan Anita Sarawak. “Saya tak tahu cara untuk menjawabnya. InsyaAllah. Kami semua berdoa untuknya. Sebab saya tak ada peluang untuk bercakap dengannya.

“Tapi ada hikmahnya juga paparazzi tak hubungi saya kerana susah. Jadi ada yang hubungi kakak sulung saya bertanya. “Baru-baru ini, dia telefon dan bercakap dengan Abang Mahathir. Mereka berdua baik. Alhamdulillah. “Perkara yang saya tahu daripada perbualan kami sebelum ini ialah kini mereka melakukan perniagaan hartanah. Mereka jual rumah dan tanah jadi mereka pergi ke seluruh Amerika Syarikat. “Tapi saya tak tahu mereka masih berpindah-randah dengan Covid ini. Jadi marilah kita doakan untuk mereka,” jawab Noorkumalasari. Terdahulu, penyanyi Anita Sarawak telah menghilangkan diri secara tiba-tiba dan semakin menyepi daripada industri hiburan tanah air kira-kira 10 tahun yang lalu.

Sumber: Media Hiburan

Anita Sarawak tak mahu diganggu?

Dahulu, barangkali kasihan melihat penulis yang datang dari jauh, seorang wanita ini berusaha menghubungi Anita, tetapi talian memasuki peti simpanan suara. Bimbang jika permintaan itu menimbulkan curiga, penulis menjelaskan kepadanya, kunjungan ke situ sekadar inginkan kepastian mengenai keadaan Anita. “Berdasarkan pemerhatian saya, Anita dalam keadaan sihat. Tiada tanda dia skit, selain menjalani kehidupan biasa sama seperti jiran tetangga lain.

“Martin juga disenangi jiran, malah mereka pasangan yang baik dan mesra dengan penduduk di sekitar,” katanya ketika ditanya mengenai kesihatan Anita dan keakraban pasangan itu. Enggan mengambil masa terlalu lama, penulis turut memberikan kad perniagaan, berserta permohonan maaf jika kunjungan itu kurang disenangi. Sebelum berlalu, wanita terbabit menerima satu panggilan dan meminta penulis menunggu seketika.

Sambil meminta maaf, dia mendakwa, Anita baru menghubungi dan menyatakan, sudah berpindah ke kediaman baharu, tetapi terlupa untuk memberitahu. Pelbagai perasaan menyelubungi ketika itu. Sedih kerana tidak dapat bertentang mata dengan Anita, walaupun hanya lima langkah memisahkan kami. Namun, pada masa gembira apabila mengetahui dia sihat dan masih bahagia bersama suaminya.- HMETRO