Sembilan tahun sunyi sepi tanpa khabar. Ana Raffali buka mulut perkembangan dia terkini dan mengejutkan pencapaian yang Ana peroleh

KUALA LUMPUR: Selepas menjulang trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-25 menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, nama penyanyi, Ana Raffali, 34, seakan terus hilangg .Bukan setahun dua, malah sudah sembilan tahun berlalu, kerjaya Ana dilihat terus hilang. Ramai tertanya ke mana penyanyi yang sering tampil bersama gitar dan berbaju kurung itu menghilangkan dirinya?

Lebih lagi, selepas mendirikan tangga dan menyambut kelahiran cahaya mata pada 2015, Ana atau nama sebenarnya, Ana Nurhidayah Mohd Raffali terus menyepikan diri. Jika menjenguk akaun media sosial, ibu kepada dua cahaya mata berusia 5 dan 2 tahun itu tidak aktif seperti penyanyi lain.”Saya bukannya menghilang, sebaliknya hanya berehat seketika daripada dunia nyanyian dan persembahan pentas. Pada dasarnya, saya berhajat menjadi Doktor Falsafah. Untuk merealisasikan hasrat ini, saya perlu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Selain sibuk sebagai guru bahasa Inggeris, saya meneruskan pengajian separuh masa dalam bidang pengajian Sarjana Pendidikan Teknologi Instruktional di Universiti Islam Antarabangsa.”Alhamdulillah, selepas lebih dua tahun bertungkus lumus membahagikan masa dan tanggungjawab sebagai pendidik serta pelajar, saya berjaya mendapat keputusan memberangsangkan dengan CGPAi 4.0. Kini, saya dalam proses akhir untuk menyiapkan tesis,” katanya kepada BH Online.

Bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam itu berkata, dia terlalu sibuk dengan tanggungjawab sebagai pendidik sepenuh masa selepas melahirkan cahaya mata kedua.”Pada masa sama, saya juga bergelar pelajar separuh masa di samping tugas rasmi sebagai ibu dan isteri. Disebabkan kekangan masa, saya kurang memberikan perhatian pada bidang nyanyian.

“Buat masa ini, saya hanya aktif menyanyi untuk anak, sebelum tidur. Walaupun tidak berada di pentas atau kaca televisyen (TV), saya tetap menulis lagu dan lirik secara berterusan. Keluarga adalah peminat setia yang memberikan komen dan kritikan untuk lagu baharu.”Seperti dikatakan, saya masih aktif menghasilkan lagu untuk nyanyian sendiri mahupun penyanyi lain. Antara lagu baharu yang dihasilkan untuk band indie yang dikenali sebagai Margosa berjudul Tingkap Kaca,” katanya.

Ana berkata, tidak nafikan, bidang muzik adalah sebahagian dirinya, malah perlahan-lahan membuat kemunculan semula dalam media sosial, Facebook dan Twitter.”Sebenarnya, ada cerita di sebalik kemunculan semula saya. Ia bermula secara suka-suka di mana saya sengaja mencari nama saya dalam Twitter. Di situ, saya ternampak satu kicauan yang lebih kurang berbunyi ‘Berharap agar Ana Rafali dapat muat naik balik semua single di platform Spotify.

“Selepas itu, saya ke Spotify untuk memastikan lagu saya ada di platform berkenaan. Terbukti, lagu saya dari album Ketika Aku Kecil tiada dalam platform itu. Lalu, saya terus mengulang kicau dan menyatakan jika berjaya memperoleh 1000 tanda suka, saya akan mendendangkan sebuah lagu secara langsung di akaun Facebook.”Sekiranya dapat 2000 tanda suka, saya akan menyanyikan dua lagu dan seterusnya. Alhamdulillah, kicauan berkenaan mendapat lebih 9 ribu tanda suka. Pada 7 Ogos lalu, saya akhirnya menunaikan permintaan peminat dengan menyanyikan sembilan lagu berserta lagu baharu. Insya-Allah, saya akan kongsi karya terbaharu dalam media sosial, tidak lama lagi,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini, Ana berkata, dia kini mengembangkan kerjaya sebagai penulis kreatif di sebuah syarikat di Kuala Lumpur selepas lebih empat tahun menjadi pendidik.”Saya berharap kerjaya baharu ini dapat memberikan ruang kembali aktif dalam bidang nyanyian dan penulisan lagu. “Saya dan pasukan pengurusan ada rancangan melakukan konsert berskala besar pada penghujung tahun sempena 10 tahun bergelar penyanyi rakaman. Saya berharap urusan dan perancangan yang diaturkan dipermudahkan,” katanya yang pernah berkolaborasi bersama penyanyi veteran, Suhaimi Meor Hassan menerusi lagu Kalau Berpacaran.