Seorang isteri terkesima terjumpa sesuatu yang tak diduga di dalam air fryer yang disorok oleh suaminya. Dia dedah perkara sebenar buat ramai tak sangka suaminya sanggup lakukan perkara sedemikian

Seorang usahawan wanita, Aien Suraya terkejut apabila menjumpai seutas gelang dan sebentuk cincin emas di dalam perkakas dapur Air Fryer di rumahnya. Kongsi Aien, gelang itu sebenarnya sebahagian daripada kejutan oleh suaminya beberapa bulan lalu. “Sudah tiga bulan tak guna. Hari ini baru nak guna tengok-tengok ada surprise dari Encik Husband. Allahu! “Tanya dia bila lagi letak, rupa-rupanya sudah dua bulan dia letak dalam tu tunggu sampai saya buka. “Lepas buka tu terkejut jugalah. Seronok sangat! Tak tahu pula hadiah itu sempena apa,” ceritanya kepada Gempak. Tambah Aien, dia menemui pemberian suaminya itu ketika mahu menggoreng nugget untuk anaknya.

Ketika menemui hadiah terbabit, suaminya, Izat Al Hafiz hanya tertawa kerana penantiannya untuk melihat reaksi isterinya akhirnya direalisasikan biarpun selepas dua bulan. Aien yang mengusahakan perniagaan tudung bawal taste di Kota Bharu, Kelantan itu turut berkongsi kisahnya itu di page rasmi Facebook Resepi Air Fryer pada Khamis dan kisah itu tular menjadi sebutan ramai. Selain cemburu dengan ‘kejutan’ suami Aien, ramai juga dalam kalangan warganet yang mahukan kejutan sama dari suami masing-masing.

“Kalau suami saya, harus bagi hint sampai buka air fryer itu. Bagus suami awak ni. Rezeki tu,” puji Noor Anina. “Tabah suami dia menunggu isteri buka air fryer tu dua bulan ye,” tambah Siti NurHanna. “Wah! Macam magik pula, buka-buka dapat hadiah. Nak macam tu jugalah,” sahut Khairumuna Rusdi. Namun, tidak terkecuali juga ada yang menganggap kisah yang dikongsikan itu tidak betul dan pengguna berkenaan sengaja meletakkan barang kemas terbabit di dalam air fryer miliknya.

Fahami Sejarah, Mekanisma, Kebaikan dan Kekurangan Air Fryer

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, alatan memasak “Air Fryer” banyak diperkatakan. Air Fryer mendapat perhatian kerana alatan ini dikatakan boleh menggoreng makanan dengan lebih sihat tanpa menggunakan sebarang minyak. Maka, tidak hairanlah air fryer menjadi idaman para suri rumah. Namun, dek kerana harganya yang boleh dikategorikan sebagai “premium”, maka keinginan itu terpaksa dipendamkan sahaja. Namun, fenomena ini mungkin berubah pada masa akan datang apabila lebih banyak jenama mengeluarkan produk air fryer di pasaran.

Antara “selling point” utama air fryer adalah kemampuan menggoreng makanan tanpa menggunakan minyak. Namun, pernahkah anda terfikir apakah sains disebalik alatan air fryer ini? Bagaimanakah makanan boleh “digoreng” sekiranya minyak tidak digunakan?

Mekanisma Air Fryer

Walaupun perkataan “Air Fryer” jika diterjemahkan secara literal ke dalam Bahasa Melayu bermaksud “Menggoreng menggunkan udara”, secara sainsnya alatan ini tidaklah “menggoreng” makanan tersebut. Namun, nama ini mungkin diberi kerana makanan yang dihasilkan oleh air fryer berwarna coklat dan kekuningan seolah-olah digoreng. Makanan yang hendak dimasak biasanya akan diletakkan ke dalam bakul berlubang dan mesin ini memasak makanan dengan meniup udara panas di sekitar makanan menggunakan mekanisme perolakan (convection).

Air fryer akan menghasilkan haba daripada elemen pemanasan yang terletak di dalamnya. Kemudian, kipas mekanikal digunakan untuk mengalirkan udara panas di sekitar makanan dengan kelajuan tinggi, seterusnya memasak makanan tersebut dan menghasilkan lapisan kekuningan melalui balas “caramelization” dan reaksi Maillard (Maillard reaction). Reaksi Maillard yang dinamakan sempena ahli kimia Perancis Louis-Camille Maillard, adalah balas kimia yang menghasilkan asid amino dan pengurangan gula.balas kimia ini terkenal dengan bagaimana ia memberikan rasa dan aroma yang unik kepada makanan.

Reaksi Maillard memerlukan suhu antara 140-165 °C, sementara proses karamelisasi memerlukan suhu bergantung pada gula yang digunakan dan selalunya antara 110-180 °C. Terdapat bukaan di bahagian atas yang digunakan untuk mengambil udara masuk dan terdapat bahagian ekzos di belakang yang berfungsi mengawal suhu dengan melepaskan udara panas yang berlebihan.

Sejarah penciptaan air fryer

Paten mengenai rekabentuk air fryer telah difailkan oleh syarikat Turbochef Technologies pada tahun 2005. Pada ketika itu, syarikat yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat ini menghaslkan air fryer khusus untuk penggunaan industri seperti industri perhotelan dan rangkaian restoran terkemuka.

Pada tahun 2010, syarikat Philips Electronics Co. telah memperkenalkan Airfryer, alatan dapur baru di Internationale Funkausstellung (IFA), sebuah pameran elektronik pengguna di Berlin. Ia dibangunkan denga menggunakan teknologi Rapid Air yang dipatenkan. Syarikat ini dikatakan bahawa hidangan yang dimasak dengan AirFryer mengandungi sehingga 80% kurang lemak. Ianya adalah penurunan besar daripada minyak yang anda makan setiap kali anda makan makanan berminyak seperti kentang goreng, kerepek dan banyak lagi.

Syarikat itu juga dikatakan bahawa alat ini tidak hanya terhad untuk memasak hidangan dan makanan pembuka tetapi juga pencuci mulut seperti kek, biskut, dan banyak lagi. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan air fryer yang dijual dipasaran turut digabungkan dengan fungsi lain seperti pemanggang roti dan periuk bertekanan. Menurut  Consumer Reports pada tahun 2019, lima jenama air fryer paling popular di pasaran antarabangsa ialah Elite, Farberware, GoWISE, Ninja dan NuWave.

Kelebihan dan Kekurangan Air Fryer

Salah satu kelebihan yang biasa digunakan dalam pemasaran air fryer adalah dapat memasak makanan yang lebih sihat. Perkara ini ada benarnya memandangkan dengan menggunakan air fryer, kita tidak perlu menggunakan minyak (atau guna sedikit sahaja) ketika menyediakan makanan. Selain itu, air fryer mempunyai kelebihan untuk memanaskan kembali makanan berbanding oven atau microwave. Dengan air fryer, makanan yang dipanaskan kembali akan kekal garing seakan-akan baru dimasak.

Walau bagaimanapun, bagi anda yang memiliki ahli keluarga yang besar, penggunaan air fryer mungkin tidak praktikal kerana ia hanya boleh memasak makanan dalam kapasiti yang kecil pada satu-satu masa.Memandangkan alatan ini menggunakan prinsip perolakan (convection) haba panas, maka jumlah makanan yang diletakkan di dalam bakul atau bekasnya juga perlu dihadkan agar mempunyai ruang antara satu sama lain bagi memastikan makanan tersebut benar-benar masak.

Sekiranya anda masak untuk seorang makan atau berdua dengan pasangan, perkara ini mungkin tidak menjadi masalah kerana anda hanya perlu memasak dalam kuantiti yang sedikit. Bagi yang berkeluarga besar, anda perlu memasak beberapa kali dan sudah tentulah ianya mengambil masa yang sangat lama.

Kontroversi air fryer sebagai penyebab sakit

Walaupun terkenal sebagai alat masakan yang lebih menyihatkan, itu tidak bermakna bahawa air fryer tidak terlepas daripada sebarang kontroversi. Malah ada juga pihak yang mengaitkannya sebagaib penyebab sakit. Perkara ini mungkin disebabkan oleh penghasilan acrylamide daripada makanan yang dimasak. Acrylamide merupakan “hasil sampingan semula jadi daripada proses memasak” yang terhasil daripada sayur-sayuran berkanji seperti kentang dan roti yang dimasak pada suhu tinggi untuk waktu yang lama. Para saintis dikatakan bahawa sebatian tersebut berpotensi menyebabkan sakit pada manusia. Acrylamide boleh terhasil daripada pelbagai jenis cara masakan termasuklah membakar, menggoreng dan sebagainya. Cara masakan sebegini bukan hanya terhad kepada air fryer sahaja sebaliknya kaedah-kaedah masakan konvesional yang lain.