Seperti yang kita tahu kes positif Covid 19 makin meningkat sekarang dan ada yang mencadangkan golongan golongan ini menjalani ujian saringan secara percuma. Ini jawapan dari pihak mereka berkenaan perkara tersebut.

KUALA LUMPUR: Golongan berisiko tinggi di negara ini khasnya warga emas dan kanak-kanak dicadang supaya menjalani ujian saringan COVID-19 secara percuma. Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata cadangan ini boleh direalisasikan menerusi kerjasama badan korporat bersama kerajaan untuk menampung kos ujian saringan itu.

Beliau berkata, sumbangan dana dari industri dan badan korporat amat diperlukan bagi menggalakkan golongan terbabit melakukan ujian secara sukarela tanpa perlu bergantung kepada syarat seperti mempunyai kontak rapat atau bergejala. “Kos untuk melakukan ujian saringan COVID-19 di pusat perubatan swasta mencecah RM200 hingga RM650 jika ingin diambil secara sukarela.

“Kita faham jika ini mahu direalisasikan ia membabitkan kos yang amat tinggi kerajaan. Oleh sebab itu, pihak korporat boleh membantu kerajaan menyediakan perkhidmatan ini. “Jika kita ingin menyediakan ujian saringan ini secara percuma, ia harus diutamakan kepada golongan berisiko tinggi terlebih dahulu, ” katanya kepada BH, di sini. Pada masa sama, Dr Raja Affendi, berkata jika ujian saringan itu tidak mampu diberikan secara percuma, sekurang-kurangnya ia boleh ditawarkan pada harga yang amat berpatutan.

Katanya, selain itu kerajaan juga disarankan mengawal harga pasaran serta menetapkan harga syiling bagi ujian saringan COVID-19. “Sehingga kini, alat ujian COVID-19 diimport dari negara luar namun tiada kawalan terhadap harganya menyebabkan ia boleh mencecah sehingga lebih RM600 bagi satu ujian, ” katanya. Beliau berkata, bagi individu yang bukan dari kategori golongan berisiko tinggi, mereka diminta mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan jika ingin melakukan ujian saringan terbabit. “Janganlah mereka ini mengambil tindakan sendiri seperti melakukan ujian saringan di pusat perubatan swasta sedangkan tidak mempunyai ciri dijangkiti COVID-19. “Ia hanya akan menyebabkan panik dalam kalangan masyarakat jika ia dilakukan tanpa mengikut SOP, ” katanya.- BHONLINE