Sesi pengajaran dan pembelajaran tetap akan diteruskan bagi calon SPM

Gambar sekadar hiasan.

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 supaya mereka bersedia menduduki peperiksaan utama berkenaan.

Presidennya, Mohd Alif Anas Mohd Noor, berkata langkah itu perlu selaras dengan kerajaan yang mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok hingga 6 Disember depan.

Katanya, pada masa sama, sesi persekolahan di seluruh negara akan ditutup bermula 6 Disember hingga 17 Disember 2020.

“Ini bermakna berlaku kekangan yang sangat besar bagi calon SPM 2020 untuk melalui sesi pembelajaran secara bersemuka dengan guru sehingga akhir tahun ini, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, hari ini mengumumkan pemindaan tarikh peperiksaan bagi SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang dijalankan mulai 22 Februari depan manakala Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan bermula, pada 8 Mac 2021.

Mohd Alif Anas berkata, GPMS menyambut baik langkah diambil kementerian dalam mengelakkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya, GPMS mengambil maklum KPM menjalankan program TV Pendidikan bermula daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Oleh itu, katanya GPMS memohon jasa baik KPM bagi meneruskan dan menambahbaik program TV Pendidikan itu.

“GPMS mengharapkan program TV Pendidikan itu diperluaskan kepada semua stesen televisyen bagi memastikan semua pelajar dapat mengikuti program TV Pendidikan itu dengan lebih berkesan.

“Semoga semua pelajar dan guru akan terhindar daripada wabak COVID-19 dan negara Malaysia akan bebas wabak itu dengan segera,” katanya