Setelah genap 14 tahun perkahwinan Fazley Yaakob dan isterinya. Fazley memberikan ucapan yang sangat tersentuh hati warganet.

Genap 14 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta hari ini, Datin Azrene Ahmad, cef selebriti Datuk Fazley Yaakob menitipkan dedikasi bersama pautan video istimewa buat permaisuri hatinya.

Menerusi video yang dimuat naik menerusi IGTV yang berlatar belakangkan lagu nukilan sendiri berjudul November Itu, Fazley menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan isteri terbaik buat dirinya.

“Syukur ke hadrat Ilahi, 7 November ini, 14 tahun yang lalu kami telah disatukan. Pelbagai onak duri, duka dan lara (bukan suka duka) dan airmata yang mengalir, namun Allah tetap izinkan kita untuk terus berdiri teguh mempertahan masjid yang satu ini.

“Bukan mudah untuk mempertahankan perkahwinan yang baru setahun jagung, apatah lagi memperkukuhkan masjid yang terbina 14 tahun lamanya.

“Moga iman kita semakin kukuh, tiang agama kita semakin utuh, dan anak2 kita yang 4 orang tu membesar dengan tersedianya ilmu dunia dan terpatrinya ilmu akhirat sentiasa,” tulisnya.

Fazley pada masa sama turut merakamkan ucapan terima kasih buat isteri yang menerima dirinya dengan apa adanya.

“Terima kasih di atas pengrbanan Adik sayang @azrene_ahmad selama ini. I am who I am today because of you.

“Adik menjadi isteri abang dalam keadaan sehelai sepinggang, dan abang sendiri sampai tiada apa lagi yang tinggal akhirnya, namun Allah tetap memberi harta kasih dan sayang berpanjangan.

“Biarlah kita miskin harta, namun kekal kaya kasih dan sayang. Yang pahit tak semestinya rcun, yang manis tak selalunya madu!

“Salam Ulangtahun kita yang ke-14 dan percintaan yang hampir ke-16 tahun,” titipnya panjang lebar.

Hidup harmoni sebagai suami isteri, Fazley dan Azrene kini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz, Ahmad Fieradz, Ahmad Fierudz dan Alayna Selma.

Foto: Instagram Datuk Fazley Yaakob