Sudah lama tak dengar khabar dari seorang ahli kumpulan Search. Rupanya ini yang terjadi kepada Amy lepas umumkan mahu undur diri dari kumpulan itu.

KUALA LUMPUR: “Secara jujur, tiada berita daripada Amy, setakat ini,” demikian luahan pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud mengulas hubungan dengan bekas vokalis, Amy yang mengumumkan pengunduran diri daripada kumpulan legenda itu pada Mac lalu. “Saya ada menghubungi Amy sekali, tetapi tidak berjawab selepas pengumuman pengunduran diri, tetapi anggota Seach lain tiada menghubunginya.

“Bukan kami bermusuhan, tetapi Amy memilih untuk menyepikan diri. Mungkin Amy belum bersedia mahu bercakap. “Kami tidak mahu bermusuh dengan Amy, jadi walaupun tanpanya, kami tetap meneruskan Search kerana ini adalah kerjaya kami. Search perlu terus berjalan ke hadapan memperjuangkan rock Melayu,” katanya kepada BH Online. Selain Nasir, Search turut dianggotai Din dan adiknya, Kid.

Nasir berkata, selagi berdaya, mereka akan meneruskan legasi Search dan akan memastikan kumpulan itu tetap melangkah tanpa noktah. “Setakat ini, apa yang semua nampak, saya, Din dan Kid masih meneruskan perjuangan Search. Kami bertiga adalah tiang, tunggak dan sendi kepada Search. “Bunyian Search ada pada tiga orang ini. Search bukan hak milik seseorang, ia mewakili satu kumpulan yang semuanya memberi sumbangan kepada kumpulan ini hingga hari ini.

“Jadi, tidak pernah timbul persoalan Search hilang daripada radar. Kami akan meneruskan tanpa noktah dengan bantuan rakan seperti Datuk Awie menerusi Konsert Cinta Buatan Malaysia,” katanya. Bagaimanapun, Nasir menafikan Awie adalah pengganti Amy. Katanya, Awie hanyalah mengisi kekosongan bagi projek bersama Imaginex dan HS Shazlicious itu.

“Awie mempunyai banyak komitmen lain yang perlu dijaga, jadi dia hanyalah sebagai pengisi kekosongan dan ruang yang diperlukan. “Beliau memang baik hati dan mahu membantu Search selagi kami memerlukannya. “Saya rasa kami saling memerlukan dan membantu. Lagipun, tak ramai mempunyai bakat seperti Awie sebab bentuk lagu Search berbeza, tak ramai yang mampu menyampaikannya dengan baik,” katanya.

Nasir berkata, ramai yang bertanya sama ada Search mahu mencari pengganti Amy atau sebaliknya. “Bukan tak mahu mencari, kami juga mahukan seorang penyanyi, tetapi setakat ini, tiada. Nak jadi seperti Amy atau Awie memakan masa dua hingga tiga dekad, jadi tak mudah untuk mencari penyanyi yang boleh membuatkan Search terus hidup,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Cinta Buatan Malaysia Search dan Awie di Bukit Kiara Equestrian, semalam.

Pada 1998, Awie pernah tampil bersama Search untuk projek istimewa berjudul Bikin Wilayah. Gabungan itu memenangi kategori Album Rock Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 1999. Kini selepas 22 tahun, Awie kembali bersama Search menerusi Konsert Cinta Buatan Malaysia Search dan Awie yang dijadualkan pada 12 Disember depan di Stadium Melawati, Shah Alam.

SUMBER: BHONLINE