Terbaru Kementerian Kesihatan akan menetapkan negara mana yang dibenarkan menghantar jemaah bagi mengerjakan umrah. Ini pengumuman selanjutnya berkaitan pelaksanaan umrah tersebut.

RIYADH: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh Benten pada Ahad mengumumkan Kementerian Kesihatan akan memutuskan negara mana yang akan dibenarkan menghantar jemaah untuk mengerjakan umrah. Oleh yang demikian, pengumuman itu dibuat susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri yang mengatakan kerajaan akan membenarkan jemaah asing memasuki negara itu pada fasa ketiga secara berperingkat selepas perkhidmatan umrah disambung semula mulai 1 November ini.

Menerusi temu bual dengan saluran Al-Ekhbariya, Benten berkata pihaknya akan mewujudkan laluan elektronik khas untuk ketibaan dan pelepasan untuk jemaah asing untuk musim haji tahun depan. Merujuk kepada penyambungan semula perkhidmatan umrah untuk jemaah tempatan yang bermula 4 Oktober, Benten berkata hanya 12 kumpulan jemaah dibenarkan mengerjakan umrah dalam tempoh 24 jam pada fasa pertama.

“Jemaah akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan diiringi petugas kesihatan profesional di Tanah Haram. Hanya jemaah yang berusia 18 hingga 65 tahun dibenarkan untuk fasa pertama,” katanya. Benten berkata, tiada bayaran dikenakan untuk permit umrah. “Tiada jemaah umrah dibenarkan memasuki Masjidil Haram di Makkah tanpa menyelesaikan prosedur masuk menerusi aplikasi mudah alih ‘I’tamarana’. Ia bagi memastikan kesihatan dan keselamatan jemaah,” katanya.

Warganegara Arab Saudi dan golongan ekspatriat serta keluarga mereka di negara ini dibenarkan memuat turun aplikasi I’tamarana berkuat kuasa mulai Ahad untuk mendaftarkan nama bagi menunaikan umrah serta mengunjungi dua masjid suci. Aplikasi itu kini tersedia untuk pengguna sistem operasi iOS dan Android di telefon pintar mereka tujuh hari sebelum permulaan fasa pertama umrah.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengumumkan penyambungan umrah secara bertahap dan lawatan ke dua masjid suci dengan jumlah jemaah yang terhad, mulai 4 Oktober. Pada fasa pertama, warganegara dan ekspatriat berada di Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan umrah dengan kapasiti 30 peratus mulai 4 Oktober iaitu 6,000 jemaah setiap hari dan ia sesuai dengan tindakan pencegahan kesihatan Masjidil Haram. Jemaah akan dibenarkan melakukan ibadat dalam 12 kumpulan, masing-masing kumpulan terdiri daripada 500 jemaah setiap hari. – AGENSI

Sumber: BHONLINE