Setelah mengumumkan boleh mengerjakan umrah bermula 4 Oktober. Terkini diumumkan jemaah akan diberi masa ini untuk menunaikan umrah. Ini maklumat selanjutnya tentang pelaksanaan baru.

MAKKAH: Setiap jemaah akan diberi masa tiga jam untuk menunaikan umrah dengan bermula dan berakhir di kawasan khusus sekitar Tanah Suci, pada peringkat pertama pembukaan semula ibadat itu, menurut sumber Arab News. Arab News melaporkan, peringkat pertama itu dijadualkan bermula 4 Oktober depan dan akan dilaksanakan melalui aplikasi I’tamarna. Berdasarkan perancangan, penetapan kawasan khusus di sekitar Tanah Suci akan membenarkan 6,000 jemaah menunaikan umrah pada enam waktu berlainan, setiap hari, dengan setiap kumpulan 1,000 jemaah diberikan masa tiga jam.

Pengusaha syarikat umrah, Ahmed Bajaiffer, memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah memutuskan untuk membuka semula ibadat itu selepas digantung akibat pandemik COVID-19, ‘kerana percaya umat Islam tidak harus berhenti menunaikannya tetapi pada masa sama, mematuhi langkah pencegahan’. Peringkat pertama berkenaan akan membenarkan rakyat tempatan serta ekspatriat yang tinggal di Arab Saudi untuk menunaikan umrah, sebelum kapasiti diperluaskan kepada jemaah dari luar negara pada peringkat seterusnya.

Bajaiffer berkata, sebuah forum diadakan, baru-baru ini, membincangkan pembukaan kapasiti hingga 30 peratus pada peringkat pertama itu. “Penilaian akan dilakukan pihak berkuasa berkaitan sebelum kebenaran diberi untuk kapasiti ditingkatkan kepada 75 peratus pada fasa kedua, serta kapasiti penuh pada fasa ketiga bagi menerima kemasukan jemaah dari luar Arab Saudi,” katanya.

Wartawan dan penulis khas mengenai umrah serta haji, Ahmed Saleh Halabi, berkata keputusan membuka semula umrah menyaksikan keprihatinan pemimpin Arab Saudi untuk membantu umat Islam menunaikan ibadat itu dengan selamat, sejajar penekanan terhadap langkah mencegah jangkitan COVID-19. “Pembukaan semula ibadat itu secara beransur-ansur boleh membantu mengurangkan krisis kewangan yang ditanggung syarikat dan institusi umrah,” katanya kepada Arab News. Halabi turut memetik Menteri Haji dan Umrah sebagai berkata, ‘ada lebih 30 syarikat tempatan dan antarabangsa yang boleh mengendalikan perkhidmatan umrah untuk jemaah’. – Agensi

INFO (Sumber: Arab News)

Pembukaan semula ibadat umrah di Tanah Suci Makkah. Fasa pertama akan membenarkan warganegara dan ekspatriat tinggal di Arab Saudi untuk menunaikan umrah pada kapasiti 30 peratus, iaitu bersamaan dengan 6,000 jemaah setiap hari, mulai 4 Oktober depan. Fasa kedua akan meningkatkan kapasiti Masjidil Haram kepada 75 peratus yang meliputi 15,000 jemaah umrah dan 40,000 jemaah solat setiap hari, mulai 18 Oktober depan. Fasa ketiga akan membenarkan jemaah dari luar negara menunaikan umrah, bermula 1 November depan, membabitkan kapasiti 20,000 jemaah umrah dan 60,000 jemaah solat setiap hari.

SUMBER: BHONLINE