Terkini Kementerian Kesihatan Malaysia mahu jalankan satu ujian untuk petugas kesihatan serta barisan hadapan bagi menguji sesuatu kepada mereka. Ini selanjutnya berkenaan proses tersebut.

BAGAN SERAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses melaksanakan ujian saringan psikososial untuk petugas kesihatan dan barisan hadapan bagi mengenal pasti sama ada mereka mengalami kemurungan kesan tugasan melawan pandemik COVID-19. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sekiranya ada petugas kesihatan dan barisan hadapan dikesan mengalami kemurungan serius kesan tugasan berkenaan, mereka akan segera dirujuk kepada pakar.

“Menyedari pandemik COVID-19 memberi kesan negatif kepada rakyat seperti kehilangan pekerjaaan, pendapatan, perselisihan dalam keluarga, dan sebagainya, kerajaan giat menambah pakar psikiatri dan psikososial. “Kementerian juga mewujudkan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) sebagai salah satu usaha jangka panjang untuk mengurangkan kadar kemurungan di negara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Ride Merdeka dan Hari Malaysia Parlimen Bagan Serai di Selinsing, disini, hari ini.

Seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam konvoi bermotosikal mengelilingi kawasan Parlimen Bagan Serai. Pada Mei lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khuatir penularan COVID-19 berisiko mencetuskan krisis kesihatan mental global, sekali gus menggesa tindakan segera diambil bagi menangani penderitaan psikologi yang ditimbulkan oleh pandemik itu.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dilaporkan berkata, walaupun perlindungan kesihatan fizikal menjadi perhatian utama ketika ini, PBB juga memberi amaran bahawa wabak itu juga menyebabkan tekanan mental membabitkan sejumlah besar penduduk dunia. Pandemik berkenaan memberi kesan psikologi ke atas sebilangan besar orang yang kehilangan atau berisiko kehilangan mata pencarian, terpisah daripada orang tersayang atau menderita di bawah perintah kawalan pergerakan yang mendadak.

PBB menekankan pelbagai kajian menunjukkan tekanan mental sedang meningkat dengan cepat, sekali gus memerlukan semua negara menyediakan akses kepada sokongan psikososial dan penjagaan mental kecemasan dalam semua aspek tindak balas terhadap pandemik berkenaan. Sementara itu, Ketua Jabatan Kesihatan Mental Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Devora Kestel pula dilaporkan berkata, pekerja jagaan kesihatan dan responden pertama yang beroperasi di bawah ‘tekanan luar biasa’ adalah kumpulan yang sangat terdedah kepada risiko mengalami kemurungan.

SUMBER: BHONLINE