Sering dikejutkan dengan keadaan selebriti lain yang terjejas pada musim Perintah Kawalan Pergerakan. Terkini Mawi kongsikan berkenaan rezekinya kepada orang ramai. Ini kisah selanjutnya.

MESKIPUN aura dimiliki tidak sehebat dahulu, nama dan populariti penyanyi dan pelakon Asmawi Ani atau Mawi masih ada. Buktinya, Mawi masih lagi dapat bertahan hingga kini mencari rezeki dalam bidang seni biarpun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Menurut bekas juara Akademi Fantasia 3 (AF3) ini, dia mempunyai pendapatan sebagai penyampai di stesen radio ZAYAN menerusi slot Salam Bros dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

“Ketika PKP dikuatkuasa, ramai penggiat seni terjejas pendapatan, tapi saya syukur Alhamdulillah kekal bertugas di radio ZAYAN. “Walaupun bekerja dari rumah, gaji tetap jalan. Bila tengok kawan-kawan artis lain, memang kasihan kerana rezeki mereka terganggu seketika. “Apapun, syukur keadaan kini sedikit pulih apabila aktiviti penggambaran dibenarkan semula dan persembahan pun boleh dijalankan dengan mematuhi syarat tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Mawi kini diberi tanggungjawab untuk menerbit dan mengarahkan salah satu slot untuk Nurflix.TV. “Saya menghasilkan drama berjudul Ali berdasarkan kisah benar tulisan Ali Rusia untuk slot Sabili atau Perjalananku. “Dia seorang penulis dan jemaah tabligh yang banyak membuat perkongsian di Facebook. Menerusi kerja dakwahnya, Ali sudah berjumpa dengan bermacam-macam orang dan salah satu daripada kisah itu saya ambil dan dramakan.

“Apatah lagi, saya dilamar oleh Nurflix.TV yang meminta menghasilkan satu drama untuk saluran mereka. Malah, saya diperkenalkan dengan Ali Rusia. “Selain itu, pihak Nurflix.TV juga ada menonton drama terbitan saya seperti Rock Sangkut serta filem saya Tiada Tajuk yang ada unsur dakwah dan mereka berminat,” katanya Terdahulu, Mawi hadir pada majlis Perjanjian Memorandum Persefahaman Serta Pelancaran Program Nurkids & Turath Nurflix.TV di sebuah hotel di Shah Alam. Biarpun sibuk menyiapkan produk untuk Nurflix.TV, Mawi yang pernah popular dengan lagu Aduh Saleha mengakui kerjaya nyanyiannya belum berkubur.

“Saya masih lagi dapat tawaran menyanyi setiap hujung minggu macam dahulu. Alhamdulilah, permintaan nampaknya masih ada. “Bagaimanapun, mungkin ramai yang tak tahu kerana saya banyak menjayakan ‘show’ tertutup. Ikutkan hati, teringin juga nak beraksi dalam konsert besar di hadapan peminat seperti di Dataran Merdeka,” katanya Memandangkan sekarang agak mustahil kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, Mawi berkata keselamatan lebih utama. Berbicara perancangan lagu baharu, Mawi berkata dia sudah m enyiapkan lagu berjudul Cahaya Malaika khas buat anak perempuannya.-HMETRO