Tersebar khabar angin mengatakan bahawa Keith Foo sudah berpisah bersama isteri apabila tidak post gambar di media sosial. Dia tanpa segan silu dedah status sebenar hubungan mereka pada orang ramai

Pelakon Keith Foo dedahkan dirinya sah berpisah dengan model, Kim Raymond pada penghujung tahun lalu. Menurut Keith, 37, dia dan bekas isteri sudah tidak bersama semenjak dua tahun lalu. “Kami berpisah semenjak dua tahun lalu tetapi secara rasminya berpisah pada Disember tahun lepas. “Walaupun sudah tidak lagi bersama, kami masih berhubung dan rapat demi anak, Skylar Raymond Foo,” katanya. Keith ditemui di sidang media telefilem Kita Merdeka oleh AEON dan Country Universal Sdn Bhd di One World Hotel, Petaling Jaya sebentar tadi.

Meskipun rumah tangga hanya mampu bertahan dalam tempoh yang singkat, Keith dan bekas isteri sepakat mengekalkan hubungan yang baik. “Kami sudah seperti rakan baik dan tiada masalah yang terjadi antara kami berdua biarpun tidak lagi bergelar suami isteri. “Anak tinggal dengan isteri tetapi setiap hari saya bertemu dengan anak. Jika saya bercuti dan tiada penggambaran, anak akan tidur di rumah saya,” katanya.
Tambah Keith, situasi yang dihadapi oleh dia dan bekas isterinya kini lebih baik.

“Kami berpisah secara baik. Perkahwinan tidak boleh dipaksa. Daripada kita paksa-paksa, kita tangguh-tangguhkan, tak tahu apa akan jadi di masa akan datang. “Jika dipaksa dan tiada persefahaman, takut perkara lebih tak dijangka yang bakal terjadi. Sekarang, situasi yang kami hadapi menjadi lebih baik,” katanya lagi. Keith mendirikan rumah tangga dengan Kim pada November 2015 dan mereka dikurniakan anak pada 30 Mei 2017.-Gempak

Krisis rumah tangga bukan punca tenggelam

Status yang dimuat naik pelakon, Keith Foo dan isterinya, Kim Raymond ketika bercuti seperti membayangkan rumah tangga sudah berakhir, baru-baru ini. Apakah maksud ‘kita masih keluarga, tidak kira apa yang berlaku’ menjawab spekulasi keretakan rumah tangga yang bertiup kencang sejak beberapa tahun lalu. Mungkinkah ia petanda Keith dan Kim sudah berpisah, tetapi masih mengekalkan hubungan baik demi anak, Skylar Raymond Foo, 3.

Sebelum ini, Keith dan Kim yang mendirikan rumah tangga atas dasar cinta pada 2015 jarang memuatkan gambar bersama dalam laman sosial. “Ya, apapun berlaku kami tetap keluarga. Kami berkawan baik dan tidak akan berbalah. Hubungan lebih kukuh dan teguh berbanding sebelum ini. “Dan, apapun keputusan yang diambil, keutamaannya pada anak. Kami menjaga Skylar bersama. “Saya dan Kim menghantar anak ke sekolah setiap hari. Jika Kim ada urusan, saya mengambil tugasan menjaga Skylar. Selalunya, saya dan Kim akan uruskan Skylar bersama-sama,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang pernah mencetuskan fenomena menerusi drama Ariana Rose itu berkata, dia juga menafikan krisis rumah tangga menyebabkannya tidak mampu memberi tumpuan terhadap dunia lakonan. “Saya sedar sudah empat tahun saya tenggelam timbul. Rumah tangga bukan punca kerjaya makin malap. “Keluarga termasuk Kim sering memberi sokongan, tidak putus mendoakan dan memberikan semangat. Saat saya tersungkur, keluarga tidak pernah tinggalkan saya. “Biarpun, ada yang melihat saya tenggelam dan timbul, tetapi ada sahaja rezeki yang diberikan untuk meneruskan hidup. Saya bersyukur dengan apa juga keadaan yang menghimpit. Mungkin saya rasa hebat akan berlaku, tetapi ada orang yang lebih susah lagi,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama adaptasi novel berjudul Dia Bukan Bidadari arahan Edora Abdul Rahman.-Berita Harian

Setiap rumah tangga ada pasang surutnya – Keith Foo

Aktor, Keith Foo, menafikan sudah berpisah dengan isterinya, Kim Raymond, malah menjelaskan hubungan mereka masih dalam keadaan baik. Enggan melatah dengan gosip bertebaran di alam maya, Keith mengambil pendekatan untuk tidak membiarkan anasir negatif membelenggu kehidupannya. Bagi bintang Ariana Rose dan Love You Mr Arrogant ini, setiap perkahwinan pasti ada pasang surutnya, namun segala permasalahan harus diselesaikan secara bersama.

“Hubungan kami baik-baik sahaja dan tiada apa yang ingin dikongsikan mengenai perkara itu. Biasalah, semua rumah tangga ada pasang surutnya dan perkahwinan mana yang tidak mempunyai masalah? Kita hanya manusia dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. “Apa yang penting, segala masalah dibincang dan diselesaikan bersama. Kadang kala, mereka di luar sana seperti lebih mengetahui perihal rumah tangga saya daripada empunya badan sendiri.

“Sejak dahulu lagi saya memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi terhadap perkara sebegini. Asalkan ia tidak memberikan sebarang kesan kepada saya, gosip seperti ini selalunya dibiarkan lenyap begitu sahaja,” katanya kepada BH Online. Status rumah tangga pelakon berusia 36 tahun itu dikatakan menjadi tanda tanya apabila Keith dan Kim jarang berkongsi gambar masing-masing di laman sosial mereka, sejak akhir-akhir ini.

Malah, aktor itu yang mendirikan rumah tangga dengan Kim pada 2015 juga sering memuat naik gambar anak perempuan mereka, Skylar Raymond Foo, dengan keterangan berbaur kerinduan. Sementara itu, Keith menjelaskan, dia tidak berdepan kesukaran untuk menguruskan anak perempuannya yang sudah menunjukkan sikap suka berdikari pada usia dua tahun.

“Anak saya kini sudah mula hendak mencantum ayat biarpun belum berusia dua tahun. Malah, dia juga senang diuruskan kerana tahu rutin harian seperti waktu makan, tidur, menonton televisyen dan sebagainya. Saya kagum melihat perkembangannya yang pesat walaupun dilahirkan tidak cukup bulan.

“Malah, saya dan isteri memilih untuk menghantarnya ke ‘playschool’ sejak awal lagi kerana ingin mendidiknya belajar berkawan dan bergaul. Kami berasakan penting untuk kanak-kanak meluangkan masa bersama bagi menjana perkembangan minda mereka,” kata Keith. Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Keith yang sudah lama tidak dilihat kelibatnya di kaca televisyen bakal menganjurkan majlis amal derma cecair merah dalam tempoh terdekat.-Berita Harian