Menteri Kanan Pendidikan tampil mengumumkan ujian MUET ditangguhkan pada tahun hadapan

Gambar sekadar hiasan

Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) untuk pelajar matrikulasi seluruh negara yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember depan ditangguhkan.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) untuk pelajar matrikulasi seluruh negara yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember depan ditangguhkan.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, ujian tersebut ditangguhkan ke tahun 2021.

“Bagi pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka akan meneruskan pembelajaran dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulangkaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.

“Pelajar Program Matrikulasi KPM akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021,” katanya pada sidang akhbar di KPM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, bagi pelajar IPG, penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bagi semua program pengajian akan dilaksanakan seperti dalam kalendar akademik Program Pendidikan Guru Sesi 2020/2021 dan Sesi 2021/2022.

Menurutnya, pelajar IPG akan kembali ke kampus dan meneruskan pengajian pada 17 Januari 2021.

Dalam mendepani cabaran penularan koronavirus (Covid-19) ketika ini, Dr Radzi juga meminta jasa baik dan kerjasama semua pihak untuk bersama-sama mendukung usaha-usaha yang dilaksanakan oleh KPM.

“Yakinlah bahawa setiap langkah yang diatur KPM adalah bagi memastikan generasi masa depan negara mendapat pendidikan yang terbaik walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua warga KPM, ibu bapa dan penjaga agar terus mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Marilah kita doakan agar keadaan kembali pulih dan pembelajaran anak-anak kita untuk sesi akan datang dapat diteruskan dalam keadaan selamat,” katanya.