Wanita ini berhenti memotong kuku sejak tahun 1979. Wanita ini juga memegang rekod dunia kuku terpanjang dan sekali ini pula yang menimpa dirinya.

Berapa lama korang boleh tahan kalau tak potong kuku? Kalau tanya min, memang tak lama. Nampak je panjang sikit, terus dicapainya nail clipper. Tapi, lain kisahnya bagi seorang wanita ini. Menurutnya, dia dah berhenti potong kuku semenjak tahun 1979. Biar betul?!

Jom kenali Lee Redmond, wanita yang pernah memegang rekod dunia sebagai pemilik kuku asli paling panjang. Dah set tarikh nak potong kuku, tapi tak sanggup sebab sayang sangat. Dilahirkan pada 2 Februari 1941, Lee Redmond mula menyimpan kukunya pada lewat tahun 1978 hingga awal 1979.

Pada awalnya, wanita ini sudah merancang mahu memotong kukunya pada 22 November 2006 tetapi akhirnya membatalkan hasratnya itu. “Ia pelik bagaimana kuku ni menjadi sebahagian diri saya. Orang ramai mengenali saya sebagai ‘The Fingernail Lady’ tapi sebenarnya saya lebih daripada itu,” kata Lee dalam satu temu bual. Menurut rekod dunia Guinness, Lee pernah memegang rekod wanita dengan kuku paling panjang pada kedua belah tangan. Apabila diukur, kukunya dikatakan mencapai ukuran sebanyak 8.65 meter!

Apabila ditanya bagaimana Lee menjaga kukunya, wanita yang menetap di Salt Lake City, Utah, Amerika Syarikat itu berkata dia akan merendam kuku-kukunya di dalam olive oil suam setiap hari. Malah, dia juga menggunakan beberapa botol nail strengthener dan nail polish untuk memastikan kuku kesayangannya itu berada dalam keadaan paling baik.

Hilang kuku lepas kemalangan

Namun begitu, Lee hilang status pemegang rekod dunia pada tahun 2009 selepas dia terlibat dalam satu kemalangan di Holladay, Utah. Insiden yang turut melibatkan tiga kenderaan lain itu bagaimanapun, tidak merekodkan kehilangan nyawa. Menurut Lee, semasa kejadian itu berlaku, dia yang duduk di tempat duduk sebelah pemandu tercampak keluar selepas kenderaan yang dinaikinya bertembung dengan tiga kereta lain.

“Perkara pertama yang saya perasaan adalah kuku saya sudah patah,” kata Lee. Kini, cebisan kuku Lee yang telah patah dalam kejadian yang tak diingini itu disimpan di dalam satu beg plastik sebagai kenangan semasa wanita itu masih lagi memegang rekod dunia. Tambah wanita itu lagi, dia amat merindui kuku panjangnya. Meskipun terdapat banyak perkara harian yang sukar untuk dia lakukan kerana kuku itu, Lee tetap bangga dia pernah memiliki rekod dunia kerana kukunya.

Untuk pengetahuan semua, pemegang rekod dunia bagi kuku paling panjang kini milik Ayanna Williams yang berasal dari Houston, Texas, Amerika Syarikat. Menurut rekod, kuku Ayanna pada kedua belah tangannya mencapai jumlah ukuran 576.41 sentimeter. Sumber: Mirror